'Kami cukup teruja suntik vaksin Covid-19' - Utusan Malaysia

‘Kami cukup teruja suntik vaksin Covid-19’

NOR Azam Karap (kanan) memimpin Johar Char selepas selesai menerima suntikan vaksin pada program vaksinasi warga emas, pesakit berisiko, dan OKU di Klinik Desa Seberang Ramai, Kuala Perlis. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jika sebelum ini, ramai dalam kalangan warga emas khususnya terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab kononya vaksin Covid-19 boleh mengancam nyawa.

Namun, bagi Johar Char, 66, dari Kampung Terus Teritip, Kuala Perlis di sini, dia langsung tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti itu sebaliknya cukup teruja untuk menerima suntikan vaksin sekali gus membantu mencegah penularan Covid-19.

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) bersama 120 warga emas serta pesakit berisiko lain menerima suntikan vaksin jenis Biotech-Pfizer di Klinik Desa Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini hari ini.

Johar yang kehilangan kaki kanannya akibat cedera selepas terpijak duri ikan pada Ogos tahun lalu berkata, dia langsung tidak berasa ragu-ragu untuk mengambil suntikan tersebut kerana sedia maklum mengenai kebaikan vaksin kepada seluruh rakyat di negara ini.

Katanya, proses suntikan tersebut hanya mengambil masa yang singkat dan tidak sakit.

“Saya sudah daftar untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis sejak dua minggu lalu.

“Saya bersyukur kerana ada program vaksinasi bergerak di kawasan ini dapat memudahkan golongan kurang upaya ini mendapat suntikan vaksin tanpa perlu ke pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program vaksinasi warga emas, pesakit berisiko, dan OKU itu adalah dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kuala Perlis.

Sementara itu, ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, seramai 120 warga emas, pesakit berisiko, dan OKU menerima suntikan vaksin jenis Biotech-Pfizer dalam program yang bermula dari pukul 8 pagi hingga kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu.

Katanya, program yang julung kali diadakan itu dibuat bagi memudahkan penduduk untuk menerima suntikan vaksin selepas ada dalam kalangan mereka menghadapi kekangan untuk ke PPV sedia ada.

Jelasnya, selain itu, ia juga sebagai salah satu usaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan penduduk.

“Saya berharap program ini akan dapat diteruskan lagi selepas ini. Ramai juga yang telah mendaftar untuk menerima vaksin dengan daripada pejabat saya sendiri sudah lebih 1,000 orang (mendaftar).

“Selain itu, inisiatif lain yang pejabat saya lakukan adalah dengan menyediakan kenderaan untuk membantu golongan yang memerlukan untuk pergi dan pulang daripada menerima vaksin. Setakat ini, dua buah kereta peribadi saya digunakan, satu yang memang dikhaskan untuk membawa orang ramai dan satu lagi yang digunakan oleh saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN