SETIU : Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai melakukan penipuan dengan menyamar sebagai peguam di Mahkamah Majistret Setiu, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, modus operandi wanita berusia 30-an itu melakukan adalah melakukan penipuan dengan cara penyamaran yang mana suspek memperkenal dirinya sebagai peguam kepada tahanan.
“Suspek dibenarkan berjumpa dengan tahanan di dalam kawasan mahkamah. Kemudian dia mengaku kepada pihak mahkamah bahawa hanyalah penjamin dan bukannya peguam kepada tahanan sewaktu pertuduhan dibacakan kepada tahanan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd Zain, pegawai polis bertugas mengesyaki suspek menipu dengan menyamar bagi membolehkan dirinya berjumpa dengan tahanan.
Suspek ditahan di kediamannya di daerah Kuala Terengganu hari ini dan direman tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










