Pemilik rumah kebajikan didakwa dera empat kanak-kanak

Pemilik rumah kebajikan didakwa dera empat kanak-kanak

S. VALAN (tengah) semasa dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Ampang, Selangor, atas pertuduhan lain, minggu lalu. –UTUSAN/SHIDIEQIEN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik rumah kebajikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Selayang dekat sini, hari ini atas empat pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh, S. Valan, 31, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan iaitu sebagai penjaga pusat jagaan yang mempunyai pemeliharaan ke atas empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 17 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berumur lapan dan 16 tahun, telah menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Selayang Permata, Batu Caves antara 2023 dan 2025.

Bagi setiap pertuduhan, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mencadangkan jumlah jaminan tinggi berdasarkan keseriusan kes sehingga tular di media sosial.

Bagaimanapun, peguam Nur Amalia Daud merayu ditawarkan ikat jamin minimum dan menyatakan anak guamnya bersedia memenuhi syarat tambahan.

Katanya, tertuduh tidak berisiko untuk mengganggu saksi pendakwaan memandangkan rumah kebajikan terlibat telah ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Jun ini.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar di lokasi sama.

Minggu lalu, tertuduh didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ampang atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun antara 18 Mac 2019 dan Mac lalu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN