Pemilik rumah kebajikan didakwa lagi lakukan seks luar tabii

Pemilik rumah kebajikan didakwa lagi lakukan seks luar tabii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik rumah kebajikan tidak berdaftar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii terhadap remaja lelaki jagaannya, tiga tahun lalu.

Pada 9 April lalu, tertuduh, S. Valan, 31, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun di pusat jagaan kanak-kanak itu.

Pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Suhaila Haron, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap remaja berumur 15 tahun, di dalam bilik tidur sebuah kondominium di Segambut antara 11 malam dan 2 pagi pada 2 Januari 2023.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, di tempat sama, Valan didakwa mengulangi perbuatannya kepada mangsa sama pada pukul 2 petang, 22 November 2023.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Md Subri Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun dengan budi bicara mahkamah, sekiranya jaminan diberikan, hendaklah pada kadar yang tinggi.

Pendakwaan juga memohon syarat tambahan diberikan kepada tertuduh termasuk serahan pasport, larangan mengganggu saksi pendakwaan dan lapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

“Sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan memohon supaya jaminan tinggi ditetapkan mengambil kira mangsa adalah bawah umur sewaktu kejadian, selain tertuduh adalah orang yang diamanahkan menjaga mangsa.

“Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan,” katanya.

Valan yang diwakili peguam, Nur Amalina Md Daud memohon penetapan jaminan yang rendah dengan alasan ibu sebagai penjamin merupakan seorang suri rumah selain memohon supaya serahan pasport dikecualikan.

“Sebelum ini anak guam saya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Ampang dan pasportnya telah diserahkan di mahkamah tersebut bagi kesalahan berbeza,” katanya.

Prosiding tersebut turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak pengadu dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor S. Kirthen dan L. Nishanti.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Jun ini.

Pada 16 April lalu, media melaporkan seorang pemilik rumah kebajikan didakwa di Mahkamah Selayang atas empat pertuduhan menganiaya dua kanak-kanak dan dua remaja serta satu pertuduhan mengendalikan pusat jagaan yang tidak berdaftar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN