KLANG: Lelaki yang mendera seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selama tiga hari sehingga meninggal dunia pada lima tahun lalu akhirnya dikenakan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, S. Davandakumar, 32, yang didapati bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Beliau dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh didapati hanya bersifat penafian kosong semata-mata.
“Mahkamah mendapati di dalam kes itu mangsa adalah anak kecil berumur tiga tahun. Mahkamah melihat sendiri laporan bedah siasat yang menunjukkan sekujur tubuh kanak-kanak yang kecil dan kurus.
“Anak kecil tersebut dipukul dengan kejam oleh tertuduh dengan menggunakan batang paip, kayu, tali pinggang dan penyangkut baju,” katanya.
Malah, Hakim Norliza menjelaskan, tertuduh didapati melakukan perbuatan kejam dengan merendam kanak-kanak itu ke dalam air.
“Kemudian anak kecil yang langsung tidak boleh melawan itu direndam ke dalam air dan akhirnya diseret jasad kecil itu ke bilik dan dibelasah lagi sehingga anak kecil itu tidak bernyawa.
“Oleh itu mahkamah mendapati, tiada lain hukuman yang setimpal terhadap tertuduh melainkan satu hukuman iaitu digantung di leher sehingga mati,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan, Davandakumar didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki, K. Nithish, 3, di sebuah rumah di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa, antara pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Disember 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pada prosiding itu, Peguam Zamri Ibrahim dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya masih bujang dan merupakan anak ketiga daripada tiga beradik.
“Dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Justeru, dipohon satu hukuman ringan diberikan kepada tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Maryam Jamielah Ab. Manaff menegaskan, kesalahan tertuduh amat keji dan sukar untuk dimaafkan kerana mengambil satu nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.
Tambahnya, tertuduh mendera mangsa selama tiga hari berturut-turut hingga akhir nafas si mati sehingga menyebabkan banyak kecederaan dialami mangsa.
“Tertuduh turut menyelamkan kepala si mati dalam baldi yang dipenuhi air sehingga mangsa hampir lemas dan lemah. Selepas si mati lemah, tertuduh mencekik dan menggigit leher serta tangan kanak-kanak itu sehingga keadaan mangsa tidak bergerak.
“Lebih menyedihkan, perbuatan ini berlaku di hadapan mata ibu kandung mangsa sendiri, yang menanggung trauma sehingga ke akhir hayatnya,” ujarnya. – UTUSAN










