Intan Hidayah anak Tok Batin cemerlang STPM - Utusan Malaysia

Intan Hidayah anak Tok Batin cemerlang STPM

INTAN Hidayah Lim ditemani bapanya, Lim Abdul Rahman menunjukkan keputusan STPM yang diperolehnya di rumah mereka di Kampung Orang Asli Kangkar Senangar, Batu Pahat, Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Berjalan kaki sejauh tiga kilometer bagi mencari rangkaian internet yang baik semata-mata untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akhirnya berbaloi apabila meraih keputusan cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020.

Malah, ‘kelas’ dalam kebun kelapa sawit bagi Intan Hidayah Lim, 20, yang juga anak Tok Batin Kampung Orang Asli Kangkar Senangar, di sini akan dikenang sepanjang hayatnya setelah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 seperti yang diumumkan hari ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, kecemerlangan keputusan tersebut membuktikan anak Orang Asli sepertinya juga mampu meraih kejayaan seperti masyarakat lain.

“Segelintir masyarakat kita pandang rendah terhadap kami Orang Asli, ada juga yang memperlekehkan kami, hari ini saya buktikan kami juga mampu berjaya asalkan kita berusaha capai impian yang kita inginkan.

“Alhamdulillah syukur dengan keputusan ini, saya hadiahkan kecemerlangan ini buat ayah, Lim Abdul Rahman yang banyak berkorban masa, wang ringgit serta kasih sayang untuk memastikan saya dapat belajar dengan baik.

“Tidak sangka juga dapat keputusan 4.00 kerana sepanjang PdPR saya terpaksa berjalan kaki jauh dalam kebun kelapa sawit di kampung kami sebagai kelas kerana mempunyai talian internet yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sulaiman itu mendapat keputusan cemerlang bagi mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Pengajian Perniagaan dan Geografi.

Kerana minatnya untuk menjadi pegawai tentera wanita, Intan Hidayah berkata, dia bercadang melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di ibu negara.

“Saya juga terhutang budi kepada semua guru SMK Dato’ Sulaiman yang banyak membantu kami pelajar Pra-Universiti (Pra-U) terutamanya ketika sesi PdPR dan secara fizikal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN