PUTRAJAYA: Identiti Digital Nasional dan Tandatangan Digital akan diperkenal kerajaan sebagai antara inisiatif agenda pendigitalan dan penerokaan teknologi sebagaimana terkandung dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam pelaksanaan inisiatif itu, penggubalan undang-undang baharu dan beberapa peraturan sedia ada perlu dipinda sebagaimana dicadangkan Kumpulan Kerja Peraturan dan Undang-Undang MyDigital menerusi mesyuarat ketiga 4IR dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Kata beliau, penggubalan undang-undang baharu itu antara lain bagi mewujudkan suasana kondusif dalam membantu perkembangan pendigitalan.
“Ia termasuklah tatacara perkongsian data awam untuk menyokong operasi pelbagai aplikasi digital dan membantu kerajaan membuat keputusan tepat berdasarkan analitik data.
“Cadangan ini dipersetujui secara prinsip dan kajian implikasi yang akan dilaksanakan Kluster Kerajaan diterajui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri turut menekankan tentang kepentingan menggunakan pendekatan keseluruhan negara (whole of nation) bagi mempercepatkan agenda pendigitalan dan penerokaan teknologi negara yang memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan rakyat untuk bergerak serentak dan saling melengkapi bagi mencapai kemakmuran bersama.
Katanya, ketangkasan transformasi digital secara menyeluruh serta penciptaan dan penerimagunaan teknologi boleh menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara.
Beliau menjelaskan, mesyuarat berkenaan turut memutuskan Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Kluster Masyarakat MyDigital akan menerajui usaha mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan transaksi digital yang mudah dan selamat.
“Pada tahun lalu, transaksi e-pembayaran per kapita adalah 170 dan dijangka meningkat kepada 400 menjelang tahun 2022 berikutan langkah-langkah bagi meningkatkan kesedaran dan kemudahan infrastruktur yang dilaksanakan secara berterusan.
“Kempen Hari Tanpa Tunai akan diadakan manakala sistem bayaran dengan aplikasi di terminal stesen minyak akan diperluas. Inisiatif ini sejajar dengan hasrat mewujudkan transaksi tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022,” katanya.
Mustapa berkata, penyelarasan semua strategi dan inisiatif tersebut akan dilakukan Strategic Change Management Office (SCMO) di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengharmonikan pelaksanaan tiga pelan tindakan berkaitan pembangunan digital negara iaitu Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia, 4IR dan Rancangan Malaysia Ke-12. – UTUSAN ONLINE










