GEORGETOWN: Para penternak dan pemilik ladang ternakan boleh menarik nafas lega selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan ibadah korban dilaksanakan di pusat atau ladang ternakan di negeri ini.
Pengarah JHEAIPP, Mohd. Zakuan Zakaria berkata, semua SOP berkaitan pelaksanaan ibadah korban seperti yang diumumkan sebelum ini juga diguna pakai sekiranya orang ramai mahu melaksanakan ibadah korban di pusat atau ladang ternakan.
“SOP sebelum ini kita hanya benarkan ibadah korban dilakukan masjid, surau dan di pusat sembelihan.
“Namun, dalam SOP terbaharu kebenaran diberikan bagi memberikan peluang serta kemudahan kepada orang ramai melaksanakan ibadah korban di pusat atau ladang ternakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Pulau Pinang membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hanya boleh dilakukan di masjid, surau dan di pusat sembelihan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pelaksanaan korban itu tertakluk kepada had bilangan haiwan ditetapkan dan membabitkan 25 petugas.
Menurut Mohd. Zakuan, pihaknya menerima banyak permohonan daripada orang ramai untuk mengadakan ibadah korban di pusat ternakan yang mempunyai ruang lebih luas.
“Kita dapati ada masjid serta surau di negeri ini yang mempunyai ruang terhad, jadi kebenaran ini dapat memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah mereka.
“Sesiapa sahaja yang ingin menjalankan ibadah korban di ladang ternakan perlu mengikuti segala panduan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.










