“MALAYSIA menghargai tawaran untuk membela negara kami tetapi bagaimana mungkin Malaysia dapat memastikan bantuan yang dijanjikan akan tiba saat begitu banyak negara yang dilihat terbiar begitu sahaja apabila mereka berada dalam kesusahan.
“Malaysia maklum keutamaan pertama pasukan pelindung adalah untuk menarik keluar pasukan mereka. Ikrar untuk melindungi hak asasi manusia tanpa mengira sempadan dan kedaulatan sudah berkali-kali terbukti kosong.
“Malaysia sedar negara kami akan ditinggalkan untuk berhadapan dengan masalah dan membayar kos dengan nyawa dan kekayaan kami. Pada akhirnya, kita hanya boleh bergantung pada diri kita sendiri.
“Memahami kekuatan (ketenteraan) sebagai mekanisme menyelesaikan masalah antara-negara, kita boleh memastikan keselamatan serantau melalui kesediaan untuk menyelesaikan masalah dengan cara ASEAN.
“Bagi Malaysia, pertahanan utama kami adalah kestabilan dan kekuatan ekonomi kami serta kesediaan kami untuk kekal bersama, walaupun kami tidak memberikan komitmen untuk berjuang bersama-sama, bukan sebagai sebuah blok ketenteraan.” – Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Ungkapan bekas Perdana Menteri itu disampaikan dalam Ucaptama beliau ketika Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Ke-30 di Subang Jaya pada 24 dan 25 Julai 1997.
Menariknya ketegasan Dr. Mahathir bukan hanya kerana suasana ketika itu yang sedang getir menangkis cabaran Krisis Ekonomi Asia tetapi juga kebimbangan mengenai campur tangan luar dalam membuahkan ketidakstabilan kewangan dan keselamatan serantau.
Ucapan ini mencerminkan prinsip yang telah lama dipersetujui oleh negara-negara anggota ASEAN, khususnya pendirian berkecuali yang menjamin setiap bentuk kerjasama tidak ditafsir sebagai perikatan ketenteraan atau membuka ruang kepada campur tangan luar.
Pun begitu, Malaysia tetap memberikan komitmen untuk membantu dalam sebarang konflik keselamatan di rantau Asia Tenggara. Prinsip yang diselitkan dalam ucaptama itu masih terpakai selama lebih tiga dekad ini dalam membentuk prinsip autonomi strategik dan kerjasama serantau meskipun tanpa pakatan yang mengikat.
Pada asasnya, kerjasama antara negara serantau memberi kesan langsung kepada kestabilan geopolitik setiap negara ahli ASEAN.
Sebagai contoh, konflik di sempadan Thailand–Kemboja sejak 2025 memberikan kesan tidak langsung kepada Malaysia termasuklah dalam hal keterjaminan kos perdagangan serantau apabila berlaku gangguan rantaian bekalan.
Terkini, negara-negara ASEAN dikejutkan dengan berita persetujuan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) antara Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).
MDCP diumumkan selepas mesyuarat dua hala antara Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin pada 13 April.
Di bawah rangka kerja itu, kedua-dua negara akan bekerjasama dalam beberapa usaha penting, termasuk membangunkan keupayaan pertahanan moden, meneroka teknologi pertahanan, termasuklah teknologi di laut, bawah laut dan sistem automatik selain meningkatkan kerjasama dalam kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi menjamin kesiapsiagaan operasi ketenteraan.
Berdasarkan pengumuman di bawah MDCP, penganalisa geopolitik serantau kini lantang membangkitkan isu kononnya Indonesia telah memberi persetujuan dalam hal pelepasan untuk tentera AS melintasi ruang udaranya.
Selain langkah ini dilihat bacul dan tidak peka dengan kezaliman yang masih berterusan dilakukan ke atas rakyat Lebanon dan Iran, timbul kebimbangan aturan seumpama ini berpotensi membuka ruang kepada akses ketenteraan AS yang lebih besar.
Bahkan, lebih membimbangkan, Indonesia seolah-olah tidak memikirkan kepentingan kedaulatan negara itu sendiri dalam mempertimbangkan risiko besar yang timbul kesan daripada aturan di bawah MDCP. Ini setelah mengambil kira pasukan tentera AS mempunyai akses bergilir kepada sembilan tapak tentera Filipina dan akses kepada kemudahan logistik di Singapura, selain kerjasama ketenteraan dengan Thailand.
Bukankah kerjasama berisiko sebegini bakal membuka ruang kepada campur tangan AS yang mampu menyasarkan negara-negara ASEAN bagi kepentingan negara itu? Dengan akses yang lebih luas buat AS di rantau ini, adakah negara-negara ASEAN bersedia untuk mempertahankan keutuhan keselamatan dan kedaulatan masing-masing?
Dalam menjawab persoalan sebegini, kita perlu mempertimbangkan rekod buruk AS yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa, seperti di Asia Barat, malah masih berlaku di rantau itu.

KEUTAMAAN ASEAN
Sejak penubuhan ASEAN pada 1967, secara relatif, negara-negara ahli mengecapi era damai tanpa peperangan antara negara dan konflik berdarah yang serius. Kerana itulah, persaudaraan serantau melalui ASEAN adalah jauh lebih signifikan dalam memastikan kestabilan kewangan negara-negara ahli terutama apabila ASEAN baru saja menerima masuk Timor-Leste pada Oktober tahun lalu.
Seharusnya ASEAN dijadikan wadah untuk memperkasa ekonomi dan keselamatan serantau agar Krisis Ekonomi Asia tidak berulang. Lebih utama lagi, setelah lebih 30 tahun krisis berlalu, sewajarnya negara-negara ahli ASEAN mengkaji semula adakah rantau Asia Tenggara sudah benar-benar pulih daripada kesan panjang krisis ini?
Negara-negara membangun tidak mempunyai kekuatan untuk bermain politik ketenteraan dalam pada kita masih mengejar politik perut jutaan rakyat yang akan terkesan. –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.










