KRISIS tenaga global yang melanda dunia bukan lagi sekadar isu antarabangsa yang jauh daripada kehidupan rakyat biasa. Kenaikan harga minyak mentah, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik telah memberi kesan langsung kepada ekonomi negara, termasuk Malaysia.
Dalam keadaan ini, kerajaan berdepan cabaran besar untuk memastikan rakyat terus dilindungi daripada tekanan kos sara hidup tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Bagi kebanyakan rakyat, subsidi bahan api dilihat sebagai benteng utama yang membantu mengurangkan beban harian. Harga petrol yang lebih rendah bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna kenderaan, malah membantu mengawal kos pengangkutan dan harga barangan.
Namun, di sebalik manfaat tersebut, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi menampung subsidi, terutama ketika harga tenaga dunia meningkat.
Sejak konflik Asia Barat berlaku, subsidi kerajaan bagi petrol dan diesel meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion sebulan. Rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi inidisalurkan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel. Harga subsidi tetap dikekalkan dan rakyat kekal membayar pada harga RM1.99 sen seliter.
Selain subsidi petrol, kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil beberapa pendekatan dan langkah segera lain dalam mengimbangi kesan krisis tenaga global yang sudah mula dirasai dan memberi kesan ketara kepada fiskal negara.
Antaranya pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), peruntukan jaminan tambahan RM5 bilion dibawah Syarikat Jaminan (SJPP) bagi menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terjejas, pelaksanaan e-invoice fasa 4 diberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan.
Pelaksanaan inisiatif BDR misalnya, ternyata menunjukkan kesan positif. Sejak pelaksanaan pada 15 April lalu, sejumlahRM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter berjaya dijimatkan setakat 25 Mei lepas. Ia sekali gus membantu kerajaan menangani bebanan kewangan susulan krisis bekalan global.
Bagaimanapun, timbul persoalan yang semakin penting dalam perbahasan dasar awam, bagaimana Malaysia boleh terus melindungi rakyat tanpa memufliskan negara? Adakah kerajaan sebenarnya berdepan dilema antara melindungi rakyat melalui subsidi dan menjaga kesihatan fiskal negara?
Menjawab persoalan ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berpendapat, kerajaan sememangnya berdepan dilema dasar yang mencabar antara melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos tenaga dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
Dalam jangka pendek, katanya, subsidi dan pelbagai langkah mitigasi masih diperlukan bagi mengurangkan tekanan terhadap isi rumah dan sektor perniagaan, khususnya PMKS.
“Namun, dalam jangka panjang, model subsidi yang terlalu luas sukar dipertahankan sekiranya harga tenaga global terus meningkat dan kekal tidak menentu,” katanya.
Persoalan lain juga menjadi polemik ramai pihak. Sampai bila model subsidi tenaga sedia ada mampu dipertahankan sekiranya harga tenaga dunia terus meningkat?
Dalam hal ini, Mazlan berkata, krisis tenaga global yang berlaku hari ini juga wajar dilihat sebagai isyarat bahawa negara perlu mempercepatkan reformasi sektor tenaga melalui pendekatan yang lebih mampan.
Ini termasuk meningkatkan kecekapan tenaga, memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta memperkukuh mekanisme subsidi yang lebih bersasar.
Cabaran sebenar bukan sekadar mengurus kenaikan harga tenaga tetapi membina sistem tenaga yang lebih berdaya tahan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kedudukan kewangan negara.
Ramai pihak juga membangkitkan tentang adakah krisis tenaga global ini mendedahkan kelemahan struktur dasar tenaga negara yang perlu diperbetulkan segera?
Dalam konteks ini, Mazlan menyifatkan langkah-langkah segera yang diumumkan kerajaan sudah menunjukkan komitmen untuk mengurangkan impak terhadap rakyat dan perniagaan.
“Namun pada masa yang sama, ia juga mengingatkan penyelesaian jangka panjang memerlukan pembaharuan struktur yang lebih menyeluruh bagi memastikan keselamatan tenaga, daya saing ekonomi dan kemampanan fiskal negara dapat dipelihara secara serentak,” katanya.
Hakikatnya, dilema yang dihadapi Malaysia turut dialami banyak negara lain. Indonesia, misalnya, pernah membelanjakan peruntukan yang besar untuk subsidi petrol sebelum mengambil langkah mengurangkannya secara berperingkat.
Sebahagian penjimatan tersebut kemudiannya disalurkan dalam bentuk bantuan tunai dan program perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.
Singapura pula memilih pendekatan yang berbeza. Negara itu tidak mengamalkan subsidi petrol secara meluas, sebaliknya menumpukan kepada bantuan kos sara hidup yang lebih bersasar melalui pelbagai bentuk bantuan tunai, rebat utiliti dan skim sokongan sosial.
Thailand juga pernah menggunakan dana khas bagi mengurangkan kesan turun naik harga tenaga kepada rakyat. Namun pengalaman negara itu menunjukkan tiada penyelesaian yang benar-benar sempurna. Apabila harga minyak dunia melonjak terlalu tinggi, tekanan terhadap kewangan kerajaan tetap berlaku.

PENYELESAIAN JANGKA BERPANJANGAN
Malaysia juga sedang menggunakan pendekatan subsidi bersasar. Melalui pendekatan ini, bantuan kerajaan dapat difokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, manakala ketirisan dapat dikurangkan.
Langkah tersebut juga berpotensi menjimatkan perbelanjaan negara tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.
Kenaikan harga bahan api juga tidak hanya memberi kesan kepada pengguna secara langsung. Kos logistik yang meningkat boleh menyebabkan harga makanan dan barangan keperluan turut naik, sekali gus menambah tekanan terhadap kos sara hidup.
Atas sebab itu, sebarang perubahan dasar berkaitan subsidi perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan mengambil kira kesan rantaian terhadap ekonomi keseluruhan.
Namun dalam jangka panjang, penyelesaian sebenar mungkin tidak terletak pada subsidi semata-mata. Pelaburan dalam sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, meluas dan mampu milik boleh mengurangkan pergantungan rakyat kepada bahan api.
Pada masa sama, usaha memperkukuh sumber tenaga alternatif dan meningkatkan kecekapan tenaga juga perlu dipergiat bagi mengurangkan kerentanan negara terhadap kejutan harga tenaga global.
Dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu, persoalannya bukan lagi sama ada subsidi perlu dikekalkan atau dimansuhkan. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan agar manfaatnya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, tanpa menjejaskan masa depan kewangan negara? –UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.










