Jangan gadai negara demi politik

Jangan gadai negara demi politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA orang ramai masih hangat berdebat tentang krisis politik di Negeri Sembilan, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi berkuat kuasa 1 Jun, lalu oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Hal ini membawa makna bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal berlangsung lebih awal, iaitu selewat-lewatnya 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN tersebut. Hanya beberapa hari kemudian, DUN Negeri Sembilan pula dibubarkan semalam.

Dalam sekelip mata, berita-berita tergempar ini menjadi di antara topik paling hangat dibincangkan serta diperdebatkan di seluruh negara. Menerusi perbincangan dalam media sosial sehinggalah di kedai-kedai kopi, orang ramai berlumba-lumba mengutarakan pelbagai pendapat tentang hal ini.

Perkembangan ini turut menjadi sesuatu yang menarik untuk dijadikan bahan kajian secara lebih mendalam dari sudut ilmiah kerana memberi contoh kejadian sebenar yang melibatkan suasana politik tempatan.

Dalam keadaan kebanyakan parti politik sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut dan pertikaian dalaman, dalam masa sama hal yang sangat merisaukan kemungkinan adanya pihak-pihak yang akan menggunakan taktik kempen secara kotor dan tidak sihat sebagai jalan mudah untuk memenangi pilihan raya ini.

Malah, sebelum tarikh kempen pilihan raya diumumkan lagi pun, sudah kedengaran pelbagai andaian, tuduhan dan kenyataan panas dibuat sesetengah pemimpin parti politik dan penyokong mereka untuk menjatuhkan lawan.

Jangan kerana pemimpin politik rakus berebut kuasa, akhirnya rakyat yang merana dan bergaduh sesama sendiri akibat termakan fitnah. Oleh itu, rakyat harus bersikap bijaksana dan bukannya mudah masuk perangkap permainan emosi serta cepat terpesona dengan janji bulan bintang yang belum tentu akan ditunaikan.

Perpaduan rakyat tidak seharusnya diperjudikan oleh mana-mana pemain politik hanya untuk mendapatkan sokongan dan undi daripada segmen masyarakat tertentu.

RAKYAT harus bijak menilai maklumat dan menghayati semangat Rukun Negara demi memastikan keharmonian Malaysia terus terpelihara.

HORMAT TITAH

Menyentuh hal ini, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda amat bertepatan dan harus dihormati serta diambil cakna oleh semua pihak.

Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa menjelang pilihan raya, ketika suhu politik semakin memuncak, terdapat segelintir ahli politik yang mula mengatur langkah dan menonjolkan diri demi meraih sokongan serta memikat hati rakyat.

Dalam hal ini, baginda menasihati semua pemimpin politik agar menjaga adab, tutur kata serta berhati-hati apabila membuat sebarang kenyataan.

Baginda mengingatkan kita dengan peribahasa “jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Tegas baginda, kita mesti elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama kerana boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

Sebelum itu, baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa bersatu padu dan saling hormat-menghormati bagi mengelakkan tragedi pahit 13 Mei 1969 berulang kembali.

Titah baginda, bagi menjamin kemajuan dan kestabilan negara, kita semua mesti bersatu hati, bertolak ansur, saling menghormati serta berpegang teguh kepada Rukun Negara.

“Jangan kita lupa sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan menghina orang lain dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini,” titah baginda.

Baginda menegaskan peristiwa rusuhan kaum tersebut telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan negara dan seterusnya memberi peringatan tegas agar jangan sampai pisang berbuah dua kali.

Seperti yang ditegaskan baginda lagi, Rukun Negara diperkenalkan sebagai aku janji dan ikrar seorang warga Malaysia, bagi membina perpaduan kaum dan menjamin keharmonian masyarakat. Inilah betapa pentingnya Rukun Negara untuk kita semua.

Justeru, baginda menyeru kepada semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia. Malah, baginda bertitah sesiapa yang tidak mahu mengikut Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.

Malangnya, ada segelintir pihak yang cuba mengambil petikan titah ini di luar konteks dan menuduh Yang di-Pertuan Agong seolah-olah baginda ingin melucutkan kewarganegaraan sesetengah pihak tanpa mengikut undang-undang.

Akhirnya, mereka sama ada gagal memahami atau sengaja memutarbelitkan maksud sebenar titah baginda. Perbahasan ini bukan berkisar tentang kelayakan dari sudut perundangan atau teknikal tetapi mengenai penghayatan terhadap roh, semangat dan jiwa Malaysia yang menjadi asas kepada identiti serta kesetiaan seseorang warganegara kepada negara.

Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu warna-warni, mestilah mempunyai warganegara yang memiliki bersemangat sama. Maka, sekiranya sesiapa yang sengaja melakukan perkara-perkara seperti mengadu domba dan saling memfitnah, mereka telah menderhakai semangat perpaduan yang menjadi asas negara kita.

Oleh kerana itulah baginda turut memberi peringatan kebebasan bersuara di media sosial bukanlah medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat atau mengatur penyebaran maklumat mahupun kandungan palsu yang menimbulkan kekeliruan.

Selain kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), tulisan biasa juga boleh menjadi bom detik untuk kestabilan negara sekiranya mengelirukan orang ramai sehingga bertindak secara tidak wajar.

Pada pandangan saya, inilah perkara paling wajar diberikan perhatian oleh masyarakat, khususnya mereka yang mempunyai pengaruh besar dalam ruang media seperti pengamal media, wartawan dan pempengaruh media sosial.

Amat malang apabila golongan yang sepatutnya menjadi sumber rujukan dalam menyampaikan fakta sahih turut terlibat menyebarkan naratif yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat, semata-mata untuk meraih perhatian dan populariti.

Dengan musim PRN dan kemudiannya PRU yang semakin hampir, kita semua mesti mengambil pengajaran daripada titah nasihat baginda Yang di-Pertuan Agong.

Jangan sampai kita ulangi kesilapan lampau hanya kerana mementingkan diri sendiri. Jangan sampai kita gadaikan negara hanya kerana kesombongan diri sendiri. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN