Jangan sekadar membaca, galakkan anak bercerita

Jangan sekadar membaca, galakkan anak bercerita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBACA buku cerita merupakan amalan yang sering ditekankan ibu bapa dan guru. Namun, satu aspek yang kadangkala kita terlepas pandang ialah usaha menggalakkan kanak-kanak menceritakan semula kisah yang dibaca.

Sebenarnya, proses bercerita berdasarkan buku yang dibaca bukan sekadar aktiviti hiburan atau latihan bercakap. Sebaliknya, merupakan satu bentuk pembelajaran yang berupaya mengembangkan kemahiran bahasa, daya fikir, keyakinan diri, kreativiti dan kemahiran sosial kanak-kanak.

Menurut kajian oleh Rebecca Isbell dan rakan-rakan yang diterbitkan dalam Early Childhood Education Journal (Disember 2004), aktiviti bercerita dan penceritaan semula membantu meningkatkan perkembangan kemahiran bahasa lisan serta kefahaman cerita dalam kalangan kanak-kanak.

Apa yang menarik, kemampuan menceritakan semula kisah yang didengar atau dibaca membantu kanak-kanak memahami struktur cerita dengan lebih mendalam berbanding sekadar mendengar atau membaca buku secara pasif.

Kita tentu sedar, apabila seorang kanak-kanak cuba menceritakan semula satu cerita, dia sedang berusaha mengingat watak, latar, konflik dan penyelesaian dalam cerita itu. 

Pada masa sama, otaknya sedang menyusun maklumat mengikut urutan kronologi yang logik. Proses ini melatih kemahiran berfikir secara tersusun selain meningkatkan daya ingatan.

Fakta ini disokong kajian oleh Wenjuan Qin dan rakan-rakan yang saya baca di jurnal First Language (April 2019). Mereka berkata, kemahiran kanak-kanak menceritakan semula kandungan buku berkait rapat dengan tahap kecekapan membaca serta kemampuan memahami teks yang dibaca.

Sementara itu, Elaine Reese dan rakan-rakan dalam kajian di jurnal Reading and Writing (Mac 2023) mendapati, perbualan antara ibu bapa dan anak-anak mengenai buku yang dibaca sangat membantu meningkatkan ketepatan serta kualiti bercerita kanak-kanak terbabit.

Sejak diasaskan pada 1999, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) mengendalikan program penghayatan sastera dan projek galakan membaca di sekolah rendah pelbagai aliran.

Kami mendapati, memang ada murid menghadapi masalah untuk menceritakan semula kisah yang dibaca dalam buku cerita. Namun begitu, selepas diberi bimbingan dan panduan membaca dengan betul, mereka mampu bercerita dengan lebih baik dan penuh gaya.

Malah, guru-guru terlibat sama membimbing peserta program mempersembahkan cerita daripada buku Nari! Nari! (2015) selain Ikan Patin dan Beruang Besar (2017) dalam bentuk lakonan dan nyanyian.

Apabila kita berjaya memupuk minat membaca dan kemahiran menceritakan semula kisah yang dibaca, anak-anak mendapat manfaat berguna sepanjang hayat.

 

KEMAHIRAN menceritakan semula kisah yang dibaca memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak kerana membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa, daya ingatan, pemikiran kritis, kreativiti dan keyakinan diri.

 

BANYAK MANFAAT

Manfaat paling asas ialah perkembangan kosa kata dan kemahiran komunikasi. Kanak-kanak yang bercerita akan memilih perkataan yang sesuai untuk menyampaikan idea. Mereka belajar menggunakan ayat lebih panjang, pelbagai dan tepat.

Dalam jangka panjang, kemahiran ini membantu mereka berkomunikasi dengan lebih berkesan dalam kehidupan harian serta dalam proses pembelajaran di sekolah.

Kajian akademik mengenai perkembangan naratif kanak-kanak juga menunjukkan, kemahiran bercerita secara lisan merupakan petunjuk penting kepada perkembangan literasi pada masa hadapan.

Selain itu, aktiviti bercerita membantu membina keyakinan diri. Seorang kanak-kanak yang berani berdiri di hadapan ahli keluarga untuk menceritakan sebuah kisah, sebenarnya sedang belajar mengurus rasa gementar, menggunakan suara dengan jelas dan berinteraksi dengan pendengar.

Kemahiran ini amat berguna apabila mereka perlu membuat pembentangan di sekolah, menyertai pertandingan pidato atau bercakap di khalayak ramai pada masa hadapan.

Persoalannya, bagaimana minat dan bakat bercerita boleh dipupuk? Pakar pendidikan awal kanak-kanak mencadangkan agar proses ini bermula di rumah.

Selepas membaca sebuah buku cerita, ibu bapa boleh meminta anak-anak menceritakan semula kisah tersebut dengan bahasa sendiri. Soalan mudah seperti “Siapakah watak utama?”, “Apa yang berlaku pada awal cerita?” dan “Bagaimana cerita itu berakhir?” boleh membantu kanak-kanak menyusun pemikiran.

Kita sedia maklum, perbualan antara ibu bapa dan anak-anak mengenai kandungan buku serta kaitannya dengan pengalaman hidup kanak-kanak membantu meningkatkan ketepatan dan kualiti penceritaan mereka.

Datuk dan nenek juga boleh memainkan peranan penting. Kanak-kanak lazimnya gemar mendengar cerita daripada warga emas. Hubungan dua hala ini boleh diperkukuh apabila kanak-kanak pula diberi peluang menjadi tukang cerita.

Mereka boleh diminta menceritakan semula kisah dalam buku yang dibaca kepada datuk dan nenek. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran bahasa, malah mengeratkan hubungan antara generasi.

Di sekolah, guru boleh menjadikan aktiviti bercerita sebagai sebahagian aktiviti pembelajaran. Misalnya, setiap minggu, seorang murid diberi peluang berkongsi cerita daripada buku yang dibaca.

Guru tidak perlu terlalu menekankan aspek hafalan. Sebaliknya, galakkan murid menggunakan kata-kata sendiri. Pendekatan ini boleh membantu mereka faham tujuan membaca bukan sekadar mengenal huruf dan perkataan tetapi kemahiran memahami serta menyampaikan semula apa dibaca.

Dalam konteks lebih luas, kanak-kanak juga wajar diberi peluang tampil di tempat awam seperti pentas acara komuniti, program perpustakaan, pesta buku atau sambutan kebudayaan.

Kajian menunjukkan, penyampaian cerita secara langsung dan melibatkan hubungan mata, gerak tubuh dan ekspresi wajah mampu meningkatkan penglibatan pendengar serta membantu proses pembelajaran.

Pengalaman beraksi di pentas pula memberi peluang kepada kanak-kanak mengasah kemahiran persembahan, mengawal suara dan membina keberanian.

Satu perkara yang perlu kita ingat ialah tujuan utama aktiviti bercerita bukan untuk melahirkan pencerita profesional atau juara pertandingan bercerita. Matlamat yang lebih besar ialah membentuk individu yang mampu berfikir, memahami, berkomunikasi dan berkongsi idea dengan yakin.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi paparan skrin dan maklumat serba pantas, kemampuan menyusun cerita secara lisan merupakan satu kemahiran insaniah yang amat berharga sepanjang hayat.

Seorang kanak-kanak yang membaca memperoleh ilmu. Seorang kanak-kanak yang mampu menceritakan semula apa yang dibaca pula sedang belajar menjadi pemikir, tokoh komunikasi dan insan yang lebih berkeyakinan. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN