UEC menyantuni perbezaan, memperkukuh pendidikan negara

UEC menyantuni perbezaan, memperkukuh pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali mencetuskan perdebatan hangat dalam landskap pendidikan negara apabila terus dikaitkan dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta kesannya terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).

Walaupun isu ini telah lama berlegar dalam wacana pendidikan negara, namun perbincangan semasa menunjukkan ia masih belum menemui titik penyelesaian yang benar-benar tuntas apabila menyentuh soal standard akademik, keseragaman sistem dan hala tuju pendidikan kebangsaan.

Terbaharu, kemasukan lepasan UEC ke IPTA kembali menjadi tumpuan apabila kerajaan menetapkan syarat wajib iaitu kepujian dalam bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Syarat ini dilihat sebagai usaha memastikan setiap pelajar yang memasuki universiti awam memiliki asas penting dalam subjek teras negara selain mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, terdapat juga perdebatan apabila isu UEC dikaitkan dengan sistem pendidikan lain termasuk aliran tahfiz.

Perkara itu turut mencetuskan reaksi apabila ada pihak yang menyifatkan sebarang usaha menyamakan lepasan tahfiz dengan UEC sebagai tidak tepat dan boleh mengelirukan gambaran sebenar sistem pendidikan negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, UEC tidak diiktiraf sebagai setara dengan SPM, namun laluan ke IPTA masih dibuka kepada lepasan sijil tersebut dengan syarat tertentu yang ditetapkan.

Pendekatan ini dilihat sebagai usaha mencari titik keseimbangan antara keterbukaan akses pendidikan dan pemeliharaan standard pendidikan nasional yang menjadi asas kepada sistem pendidikan negara.

Situasi ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pihak berkepentingan. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ia bertujuan memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada lebih ramai pelajar termasuk lepasan UEC dan institusi lain di luar aliran Kementerian Pendidikan.

Kata beliau, langkah tersebut bukan bertujuan menggantikan SPM, sebaliknya memastikan lebih ramai anak muda mempunyai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selaras dengan usaha membangunkan modal insan negara.

Bagaimanapun, pandangan tersebut berbeza dengan beberapa tokoh akademik. Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, UEC perlu dinilai berdasarkan kerangka DPK yang berasaskan kurikulum kebangsaan, bahasa pengantar kebangsaan dan peperiksaan kebangsaan.

Katanya, SPM kekal sebagai penanda aras utama sistem pendidikan negara dan sebarang kelonggaran tanpa asas kukuh boleh menjejaskan keseragaman sistem pendidikan nasional.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berpandangan dasar pendidikan negara tidak wajar dilonggarkan dalam isu pengiktirafan UEC.

Beliau berpendapat laluan kemasukan ke universiti awam seharusnya kekal berasaskan SPM sebagai penanda aras utama dan sebarang pengecualian terhadap prinsip tersebut boleh memberi implikasi kepada kekuatan DPK sebagai asas sistem pendidikan negara.

Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pula menyuarakan rasa kecewa terhadap syarat kemasukan yang dikenakan ke atas lepasan UEC ke IPTA.

Badan pendidikan tersebut berpendapat syarat tambahan yang mewajibkan kelulusan SPM khususnya dalam bahasa Melayu dan Sejarah, dilihat sebagai satu bentuk sekatan kepada akses pelajar UEC untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Dong Zong turut berpandangan pendekatan itu wajar diteliti semula agar tidak menjejaskan peluang pendidikan pelajar yang mengikuti aliran tersebut.

Isu ini perlu ditangani secara menyeluruh bagi mengelakkan salah tafsir terhadap kedudukan UEC dalam sistem pendidikan negara.

DPK menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu dan subjek Sejarah sebagai asas pembentukan jati diri pelajar, sekali gus memastikan setiap graduan universiti awam mempunyai kefahaman terhadap sejarah, identiti dan sistem negara.

Reaksi daripada pelbagai pihak turut memperlihatkan perbezaan pandangan yang ketara. Ada yang bimbang syarat tambahan terhadap lepasan UEC boleh mengehadkan pilihan pendidikan pelajar, manakala ada juga yang menegaskan standard kemasukan ke IPTA perlu dikekalkan demi menjaga kualiti pendidikan tinggi negara.

KPT berpendirian walaupun UEC tidak diiktiraf sebagai setara SPM, namun pelajar masih mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke IPTA sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

Ini menunjukkan dasar semasa masih memberi ruang kepada akses pendidikan, namun tetap dalam kerangka yang selari dengan dasar nasional.

Dalam konteks Malaysia, sistem pendidikan bukan hanya tertumpu kepada akses semata-mata tetapi turut menekankan keseragaman standard, perpaduan nasional dan pembinaan identiti bersama melalui kurikulum kebangsaan.

 

 

PRINSIP asas dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) tidak boleh diketepikan kerana menjadi asas kepada kestabilan dan keseragaman sistem pendidikan negara.

BERHATI-HATI

Oleh itu, sebarang perbincangan berkaitan pengiktirafan kelayakan luar sistem kebangsaan perlu mengambil kira keseimbangan antara keterbukaan pendidikan dan kepentingan dasar negara.

Ia bukan sekadar soal teknikal kemasukan ke universiti tetapi turut melibatkan prinsip asas yang telah lama menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara.

Perubahan dasar atau syarat kemasukan ke IPTA boleh memberi kesan kepada keputusan ibu bapa dan pelajar dalam menentukan laluan pendidikan, sekali gus membentuk corak baharu sistem pendidikan negara pada masa hadapan.

Namun, sebarang perubahan perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak menjejaskan keseimbangan sistem pendidikan sedia ada.

Dalam usaha memperluaskan akses pendidikan, prinsip asas dalam DPK tidak boleh diketepikan kerana menjadi asas kepada kestabilan dan keseragaman sistem pendidikan negara.

Isu UEC memperlihatkan cabaran utama dalam sistem pendidikan negara hari ini, iaitu mencari keseimbangan antara keterbukaan akses pendidikan dan pemeliharaan dasar nasional.

Ia menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dari sudut akademik tetapi juga dari aspek dasar, identiti dan hala tuju jangka panjang negara.

Akhirnya, apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan sistem pendidikan negara terus bergerak ke hadapan tanpa mengorbankan asas yang telah lama dibina.

Keseimbangan antara peluang pendidikan dan prinsip DPK perlu sentiasa dipelihara agar pembangunan pendidikan negara kekal mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang. –UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN