Piala Thomas: Malaysia kena jadi juara Kumpulan B

Piala Thomas: Malaysia kena jadi juara Kumpulan B

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi beregu harapan utama negara di Piala Thomas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia wajib menumbangkan Jepun dalam aksi Kumpulan B Piala Thomas 2026 bagi memastikan laluan lebih cerah ke peringkat separuh akhir

Bekas legenda beregu negara, Datuk Razif Sidek berdepan Jepun bukan sekadar aksi biasa, sebaliknya penentu status juara kumpulan B yang turut dianggotai England dan Finland.

Menurutnya, kegagalan meraih kemenangan ke atas Jepun akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan sukar iaitu kemungkinan lolos ke saingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan.

“Kalau kita nak jadi juara kumpulan, kita kena berani lawan Jepun dan cuba menang, sebab itu perlawanan penentu utama buat pasukan negara.

“Kalau kalah, kita mungkin jadi naib juara dan itu akan menyukarkan laluan di suku akhir nanti,” kata Razif kepada Utusan Malaysia.

Jepun dilihat sebagai pasukan paling lengkap dalam Kumpulan B dengan kekuatan seimbang dalam semua posisi termasuk perseorangan diketuai Kodai Naraoka dan Kenta Nishimoto.

Malah, beregu utama mereka, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi turut menjadi ancaman utama selepas beberapa kali menewaskan pasangan negara sebelum ini.

Dalam masa sama, England dan Finland dianggap lawan yang boleh diatasi, namun fokus utama tetap terarah kepada pertemuan dengan Jepun yang menjadi ‘final awal’ kumpulan.

“England memang kita seboleh-bolehnya jangan rasa terlalu yakin kerana apa-apa pun boleh berlaku, jadi kita kena ambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Kalau boleh kita nak menang 5-0 supaya semua pemain dapat keyakinan sebelum lawan yang lebih kuat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN