Hilang pendapatan kerana PKP, anak pula diserang kanser - Utusan Malaysia

Hilang pendapatan kerana PKP, anak pula diserang kanser

ABDUL Aziz Naina Mohamed (kiri) dan Noor Baiti Kosri menunjukkan surat pengesahan daripada hospital susulan kanser limfoma yang dihadapi Nur Aqilah Balqis. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibu bapa mana yang tidak sayu mengenangkan masa depan anak mereka apabila disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua, awal bulan lalu.

Bagi Noor Baiti Kosri, 45, dia tidak akan sesekali menunjukkan riak wajah sedih di hadapan anaknya, Nur Aqilah Balqis Abdul Aziz, 18, kerana mahu remaja itu terus ceria dan tabah menghadapi ujian.

Katanya, anak sulung daripada lima beradik berkenaan pada mulanya berasa sakit di bahagian bawah lengan dan terdapat benjolan kecil, tetapi menganggapnya sebagai perkara biasa.

“Ketika itu dia tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Perak di Jasin dan telah mendapatkan rawatan pakar di Hospital Jasin. Selepas itu rawatan dihentikan kerana saya dan suami, Abdul Aziz Naina Mohamed, 51, berpindah ke Sabak Bernam, Selangor.

“Bagaimanapun, ketulan itu semakin membesar selepas dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Februari lalu. Kami membuat keputusan untuk menghantar anak ke Hospital Teluk Intan, Perak dan kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Ampang.

Akhirnya, doktor mengesahkan anak kami menghidap kanser limfoma tahap dua yang agresif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengenai perubahan sikap anak, Noor Baiti memberitahu, Nur Aqilah Balqis yang bercita-cita mahu menjadi seorang jururawat dan pelukis pelan adalah anak yang ceria dan cemerlang dalam pelajaran, namun, dia kini lebih selesa menyendiri di dalam bilik lantas menjadi pendiam.

“Disebabkan kanser ini, dia selalu demam, letih dan banyak tidur. Kami ada meminta dia keluar dan bergaul dengan orang lain, tetapi dia lebih selesa bersendirian,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Aziz Naina Mohamed berkata, sebagai bapa, dia sanggup berkorban apa sahaja asalkan anaknya sembuh meskipun diuji pelbagai dugaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

Menurutnya, dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap, sekali gus membataskan kemampuannya untuk menampung kos rawatan susulan, keperluan pemakanan dan ubat-ubatan.

“Saya hanya berniaga cenderamata secara kecil-kecilan dan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0, perniagaan saya tidak dibenarkan beroperasi. Isteri pula tidak bekerja kerana memberi tumpuan terhadap keperluan khas Nur Aqilah Balqis.

“Dulu, isteri saya ada menolong menambah pendapatan dengan mengambil tempahan membuat kuih dan kek, tetapi kini, agak sukar kerana perlu menguruskan anak-anak. PKP pula sangat memberi kesan kepada pendapatan harian dan jika berterusan, saya sendiri buntu bagaimana hendak mendapatkan wang untuk membiayai rawatan anak,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Abdul Aziz menerusi talian 019-4425548 atau sumbangan terus ke akaun bank Maybank bernombor 162094161268 (Abdul Aziz Naina Mohamed).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN