GPS junjung kasih keprihatinan Agong isytihar darurat Sarawak - Utusan Malaysia

GPS junjung kasih keprihatinan Agong isytihar darurat Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjunjung kasih dan menyambut baik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Sarawak bermula Isnin ini sehingga 2 Februari 2022 bagi menggantung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Proklamasi Darurat itu wajar dilaksanakan, mengambil kira keselamatan dan  nyawa rakyat di negeri ini yang belum bersedia  berhadapan dengan PRN disebabkan penularan pandemik Covid-19 masih tinggi. 

Beliau berkata, bagaimanapun, GPS dan seluruh rakyat Sarawak berharap keadaan  menjadi semakin baik seiring dengan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang mana 100 peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka menerima dos lengkap vaksin pada Oktober ini. 

“Perkembangan itu membolehkan banyak sekatan dilonggarkan dan kehidupan rakyat kembali pulih seperti biasa secara  berperingkat. 

“Justeru dalam keadaan itu, Yang di-Pertuan Agong mungkin berkenan  menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal yang akan membolehkan PRN diadakan  bagi membolehkan rakyat di negeri ini melaksanakan hak mereka untuk memilih dan  memberi mandat kepada GPS untuk mentadbir kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander pada masa sama berkata, GPS menaruh sepenuh keyakinan di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam perkara ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh negeri itu bermula 2 Ogos ini hingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung PRN Sarawak daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.