SUNGAI PETANI: Dua beradik cedera akibat ditikam bapa saudara mereka berusia 61 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Melati, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 23 tahun masing-masing cedera pada perut dan tangan kiri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, mereka dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, suspek kemudian ditahan di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang, Pendang dekat sini kira-kira tiga jam selepas laporan berhubung kejadian diterima.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang wanita berusia 63 tahun didatangi suspek yang merupakan adik lelakinya dan meminta wang untuk membeli dadah,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, wanita itu enggan memberikan wang dan berlaku pertengkaran mulut sebelum dua anak wanita terbabit cuba meleraikan pergaduhan.
“Suspek seterusnya bertindak mengeluarkan pisau dari belakang badannya yang dipercayai telah dibawa dari rumahnya dan menikam dua anak wanita terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE










