Lebih dua dekad, Caroline Rajan, 45, terpaksa berdiam diri dan menyembunyikan statusnya sebagai orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) daripada dunia luar.
Baginya, itulah satu-satunya cara untuk melindungi diri daripada penilaian, penolakan dan stigma masyarakat.
Perjalanannya tidak mudah, sarat dengan kesakitan, kesedihan, ketakutan, keraguan, rasa malu dan kemarahan terhadap diri sendiri.
Melalui seni, perlahan-lahan beliau belajar bersuara semula, bangkit dan membebaskan emosi yang lama terpenjara.
Pengalaman tersebut kemudian diterjemahkan dalam pameran solo sulungnya, The Unsung Voices: Women Living with HIV, baru-baru ini.
Matlamatnya untuk memberi inspirasi dan kekuatan kepada wanita senasibnya yang masih bersembunyi serta berdiam diri.
“Kanvas menyembuhkan luka, duka dan kekusutan emosi yang lama terperangkap dalam fikiran saya.
“Setiap sapuan berus membawa serpihan kebenaran manakala warna-warnanya pula melambangkan denyut ketabahan dan kecekalan.
“Di ruang seni inilah, saya akhirnya menemui keberanian untuk kembali ‘hidup’ dan memberikan suara kepada wanita PLHIV lain yang masih tidak dilihat serta didengari,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Pelukis visual abstrak dari Petaling Jaya ini mahu lebih ramai wanita PLHIV di Malaysia tampil bersama-samanya dan bersuara memerangi stigma.
Katanya, suara wanita masih jarang didengari dalam sebarang perbincangan mengenai HIV.
“Di kebanyakan tempat, lelaki dilihat lebih berani dan sering berkongsi pengalaman mereka dengan khalayak.
“Saya faham, tidak mudah untuk wanita bersuara secara terbuka terutama apabila memikul tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan anak,” katanya.
Justeru, menerusi karya seninya itu, Caroline berharap dapat menyemai benih keberanian, kasih sayang dan pemahaman kepada golongan sasar.
Paling penting, beliau mahu wanita PLHIV tahu yang mereka tidak lagi keseorangan dan suara mereka layak didengari.

10 bulan siapkan lukisan
Dedikasi selama 10 bulan membuahkan hasil apabila 20 karya dalam The Unsung Voices akhirnya siap.
Setiap satunya menyingkap fasa kehidupan Caroline sejak didiagnosis pada usia 23 tahun disusuli tindakan balas dendam, rasa malu dan pengasingan diri, penafian, kemarahan serta halangan.
Kemudian, beliau melalui episod kesedihan sebelum berusaha pulih, mendedahkan diri, mencapai penerimaan, merasakan cinta serta menekuni advokasi dan pemerkasaan.
“Di fasa awal, lukisan saya menampilkan wanita bersayap patah dengan separuh wajahnya tertutup.
“Potret itu beransur-ansur berubah bagi menggambarkan perjalanan saya keluar dari kepompong dan menemui keberanian semasa Covid-19,” katanya.
Selain itu, beliau turut menghasilkan enam lukisan bibir berwarna-warni sebagai simbolik stigma yang kerap menyelubungi kehidupan wanita PLHIV.
Katanya, 10 peratus daripada hasil jualan lukisannya akan disalurkan kepada Majlis Aids Malaysia (MAC).
Selain berkarya di kanvas, Caroline juga berhasrat menulis biografi diri untuk berkongsi kisah hidup dan perjuangannya.
Dijangkiti daripada pasangan
Permulaan detik hitam dalam hidupnya bermula apabila virus HIV disebarkan oleh bekas pasangan.
Ia hanya disedari apabila muncul ruam menyerupai cacar dan kayap di bahagian perut.
Selepas menjalani pemeriksaan darah, doktor mengesahkan dirinya positif HIV.
“Saya tidak mengalami simptom lain dan sekiranya ruam itu tidak muncul, mungkin bertahun-tahun saya tidak tahu dijangkiti.
“Berita itu sangat mengejutkan, seolah-olah hidup saya sudah berakhir. Apatah lagi, ibu bapa turut berada di klinik ketika doktor memberikan penerangan.
“Saya sempat memandang wajah ayah, air matanya mengalir dan keadaan itu benar-benar meruntun perasaan,” ujar anak bongsu daripada dua beradik ini.
Namun, Caroline bersyukur keluarga tidak pernah meminggirkannya walaupun mengetahui status kesihatannya.
Mereka sentiasa di sisinya, memberi sokongan tanpa henti dan membantu menaikkan semangatnya.
Kehadiran mereka secara tidak langsung menjadi pelindungnya mengharungi cabaran hidup sebagai PLHIV.
“Malah, ayahlah yang sentiasa menemani saya ke janji temu doktor dari awal hingga akhir hayatnya pada 2023,” katanya.
Sehingga kini, Caroline masih mengikuti rawatan HIV dan mengambil ubatan berkaitan bagi mengekalkan kesihatan serta kualiti hidupnya.
Guru seni
Minat mendalam terhadap seni mendorongnya membuka kelas untuk mengajar kanak-kanak dan remaja.
Ketika ini, beliau memiliki seramai tiga pelajar yang berumur antara lapan hingga 15 tahun.
Katanya, penglibatan sebagai pendidik langsung tidak dirancang dan bermula sekadar memenuhi jemputan rakan untuk melakukan demonstrasi seni pada 2013.
“Lama-kelamaan, saya mula rasa seronok kerana melukis adalah hobi saya sejak kecil.
“Dulu, emak dan ayah sering risau dengan tabiat nakal saya yang gemar menconteng dinding rumah dan dalam kereta,” katanya.
Caroline turut bersyukur kerana ibu bapa pelajarnya tidak ada sebarang stigma atau meminggirkannya walaupun bergelar PLHIV.
Lebih menggembirakan, mereka turut memberikan komen-komen positif padanya.
“Salah seorang pelajar saya, Myra menonton video pengakuan PLHIV saya dan meluahkan rasa bangganya dapat berguru dengan saya,” katanya.
Sokongan itu menjadi penyuntik semangat buat Caroline untuk terus kuat.-UTUSAN










