‘Kesilapan saya terlalu baik hingga dikhianati’

‘Kesilapan saya terlalu baik hingga dikhianati’

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mohd. Shukri Ramli meluahkan pengkhianatan oleh tiga wakil rakyat Pas selain rakan-rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggap sebagai sahabat untuk menumbangkan beliau sebagai Menteri Besar sangat mengejutkan.

Beliau juga langsung tidak tahu mengenai rancangan menjatuhkannya di sebalik persahabatan yang baik dengan wakil-wakil rakyat tersebut serta kepercayaan diberikan kepada mereka.

“Saya nak kata kecewa pun mungkin tak, cuma kesilapan saya sebab terlalu baik dan terlalu menghargai persahabatan ini yang menyebabkan kita dilakukan sedemikian. Saya masih melihat mereka sebagai sahabat, sebelum peristiwa ini tiba-tiba terjadi.

“Maklumat langsung tidak dapat dikesan tiba-tiba terjadi saja (penolakan sokongan). Saya dapat maklumat hanya pada hari kejadian, itulah kebijaksanaan mereka merancang. Apa pun peletakan jawatan sebagai Menteri Besar ini, atas faktor kesihatan secara sukarela dan tidak ada kaitan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar sini kelmarin.

Politik Perlis bergolak ekoran lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga daripada Pas menandatangani akuan bersumpah untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Mohd. Shukri, manakala selebihnya lima wakil rakyat daripada Bersatu.

Tiga wakil rakyat dari Pas yang menarik sokongan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji). Bagaimanapun, tiga kawasan berkenaan dikosongkan selepas ADUN-ADUN tersebut terhenti keahlian Pas.

Mohd. Shukri kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dengan surat peletakan jawatan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Kata ADUN Sanglang itu, keputusan tersebut dibuat secara sukarela dan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran negeri Perlis kerana sepanjang tiga tahun ini telah memberi kerjasama cukup erat.

Mohd. Shukri menyerahkan kepada pusat menentukan siapa calon dari Pas yang akan diketengahkan sebagai Menteri Besar.

“Kita harap dan sepatutnya Pas lah dapat terus menerajui kepimpinan kerajaan negeri Perlis sebab Pas majoriti,” katanya.

Mohd. Shukri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai masa depan hubungan antara Pas dan Bersatu di dalam PN berikutan pengkhianatan tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pusat menentukan tindakan akan diambil.

“Selepas ini, saya akan meneruskan khidmat sebagai ADUN Sanglang manakala tugas Menteri Besar berkemungkinan dipangku sementara oleh Exco kanan dan bakal ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan negeri.

“Diharapkan pengganti saya (Menteri Besar) nanti akan teruskan agenda dirancang khususnya dalam merealisasikan belanjawan dibentangkan baru-baru ini untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mohd. Shukri merupakan Menteri Besar ke-11 selepas PN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×