PETALING JAYA: Status kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dan keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya boleh ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun Speaker DUN Perlis memaklumkan menghantar notis kekosongan luar jangka namun SPR perlu menentukan status tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditamatkan keahlian dalam Pas.
“Dalam kes seperti Perlis, ia belum pernah berlaku sebelum ini. Jadi Penasihat Undang-Undang SPR dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara akan melihat dari sudut perundangan dan Perlembagaan.
“Walaupun Speaker mengatakan akan menghantar notis memaklumkan kekosongan luar jangka namun masih SPR yang akan menentukan status tiga ADUN dan sama ada berlaku kekosongan atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas berhubung kemelut politik yang melanda Perlis sehingga tiga ADUN Pas iaitu ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim dilucut keahliannya daripada Pas.
Keputusan pelucutan keahlian itu diambil Pas susulan laporan tindakan ketiga-tiga ADUN tersebut yang menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis bagi menyatakan sudah tidak percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Susulan pelucutan keahlian itu, Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka tiga kerusi iaitu di N.03 Chuping, N.06 Bintong dan N.13 Guar Sanji.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan pihaknya sedang menunggu notis kekosongan luar jangka tersebut dari Pejabat Speaker DUN Perlis.
Bagi penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berpandangan PRK boleh diadakan walaupun DUN Perlis sudah mencapai tempoh matangnya pada 18 Disember lalu kerana alasan digunakan Speaker DUN Perlis juga relevan iaitu kekosongan tiga kerusi tersebut perlu diisi bagi kepentingan kestabilan kerajaan negeri untuk berkhidmat.
“Sekarang ini banyak persoalan timbul apabila ADUN Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menyerahkan SD (akuan bersumpah) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka tidak lagi percaya kepada Menteri Besar.
“Persoalan yang timbul adalah adakah Bersatu akan menyokong kerajaan negeri yang diketuai oleh Pas. Jika tidak maka wajarlah PRK diadakan supaya kestabilan dapat dikembalikan,” katanya.-UTUSAN










