TINDAKAN lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) masing-masing lima dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga dari Pas didakwa menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menjatuhkan Menteri Besar dianggap berjaya.
Meskipun Mohd. Shukri akhirnya mengumumkan peletakan jawatan kelmarin, namun kesan di sebalik ‘kejayaan’ itu menyebabkan tiga ADUN Pas digugurkan keahlian dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Chuping, Bintong dan Guar Sanji dikosongkan dan kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Pas telah mengambil tindakan tegas dan dianggap sewajarnya dan ia berbeza dengan Bersatu apabila kepemimpinan tertinggi parti itu masih belum mengambil sebarang langkah jelas terhadap lima ADUN mereka yang sama terlibat.
Impak daripada kemelut politik di Perlis itu sudah pasti tertumpu kepada hubungan Pas dan Bersatu yang retak menanti belah, khususnya kepercayaan, keikhlasan membabitkan hubungan dalam PN itu mula pudar.
Hubungan antara dua parti itu bukan sahaja terjejas di Perlis namun berkemungkinan bakal meletus di peringkat pusat jika tidak ditangani dengan baik kepemimpinan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan keras menggesa Bersatu mengambil tindakan terhadap lima ADUN mereka mencetuskan kemelut politik di Perlis.
Beberapa lagi pemimpin Pas turut mengulangi gesaan sama atau sekurang-kurangnya mahu Bersatu memanggil lima ADUN berkenaan untuk mendapatkan pengakuan sama ada mereka benar-benar menandatangani SD tersebut.
Antaranya, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan tindakan lima ADUN Bersatu sebagai cubaan jelas menjatuhkan kerajaan PN Perlis serta sabotaj terhadap Menteri Besar dari Pas, seterusnya menuntut parti itu bertindak tegas sebagaimana telah dilakukan oleh partinya.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pula melihat kegagalan Bersatu mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu di Perlis dibimbangi boleh ditafsir sebagai isyarat parti itu tidak berminat meneruskan kerjasama politik dalam PN.
Meskipun Perlis bakal menerima Menteri Besar baharu selepas ini sama ada dari Pas atau Bersatu sekali pun, namun mampukah kepercayaan dalam hubungan itu dipulihkan. Secara logik akal, Perlis yang selesa dikuasai PN dengan 14 daripada 15 kerusi DUN tidak sepatutnya berlaku pergolakan seperti sekarang.
Namun ia berlaku di Perlis sebuah negeri kecil yang tidak pernah lekang dengan kemelut politik dan mencetuskan sindiran terhadap PN ‘tebuk atap’ rumah sendiri.
Pemerhati politik Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, krisis politik di Perlis boleh memberi kesan daripada aspek kepercayaan hubungan PN memandangkan negeri dikuasai Pas seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan menunjukkan ADUN Bersatu kini mula dilihat berbeza pandangan.
“Jika di Perlis, wakil Bersatu boleh menjadi sebahagian daripada usaha menjatuhkan Menteri Besar dari Pas, apakah jaminan bahawa perkara sama tidak boleh berlaku di negeri lain. Dalam politik, kepercayaan terhakis, sukar dipulihkan.
“ADUN Bersatu di negeri Pas kini berdepan risiko dilihat sebagai bom jangka. Ia juga dilema besar bagi Pas iaitu terlalu curiga akan melemahkan kerjasama manakala terlalu longgar pula membuka ruang manipulasi.
“Krisis di Perlis ini berpotensi menjadi titik perubahan landskap politik Melayu. Jika PN gagal mengurus persepsi dan realiti pasca krisis ini, mereka memasuki PRU16 dalam keadaan defensif. Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan tidak lagi boleh dianggap selamat,” katanya.-UTUSAN










