Doktor kontrak tubuh kesatuan sekerja  - Utusan Malaysia

Doktor kontrak tubuh kesatuan sekerja 

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Doktor-doktor kontrak merancang menubuhkan kesatuan sekerja bagi memastikan suara dan kebajikan mereka diketengahkan, khususnya dalam isu pelantikan tetap kerajaan.

Jurucakap gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, penubuhan kesatuan itu dijangka direalisasikansebelum pembentangan Belanjawan 2022, Oktober ini.

Beliau berkata, kesatuan itu memainkan peranan sama seperti kesatuan sedia ada yang lain seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Malaysia (Cuepacs).

“Kesatuan ini akan didaftarkan secara rasmi seperti mana kesatuan-kesatuan lain yang sudah ada agar kami boleh menyuarakan masalah dengan lebih baik kepada kerajaan.

“Gerakan ini juga akan bekerjasama dengan MTUC dan Cuepacs untuk mengangkat isu doktor kontrak secara profesional seperti Persatuan Perubatan British di United Kingdom (UK),” katanya semasa sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menerangkan perancangan gerakan seterusnya berkenaan selepas menjalankan Hartal Doktor Kontrak 1.0 pada 26 Julai lalu.

Kira-kira 4,000 doktor kontrak di seluruh negara Isnin lalu melakukan mogok secara aman di lokasi mereka bertugas walaupun berisiko dikenakan tindakan tatatertib atau undang-undang.

Mogok membabitkan 30 hingga 100 doktor kontrak di setiap hospital kerajaan itu berlangsung dalam tempoh 15 hingga 30 jam dengan masing-masing membawa plakad dan ada yang berpakaian serba hitam bermula serentak  pada  pukul 11 pagi.

Baru-baru ini, Pejabat Perdana Menteri menawarkan penambahbaikan faedah-faedah pegawai perubatan kontrak seperti kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Bagaimanapun, Dr. Mustapha Kamal berkata, pihaknya perlu meneliti Akta Kesatuan Sekerja 1959 sebelum benar-benar bersedia ke arah itu.

Untuk rekod, keahlian kesatuan sekerja berdasarkan akta tersebut mensyaratkan pekerja dalam kumpulan profesional dan pengurusan dalam sektor awam tidak boleh menyertai kesatuan sekerja kecualikan mereka dikecualikan oleh Ketua Setiausaha kepada kerajaan.

Sebahagian kumpulan kakitangan kerajaan seperti polis, tentera dan mereka yang bekerja dalam bidang kerahsiaan dan keselamatan juga tidak dibenarkan menyertai kesatuan.

“Pekerja profesional seperti doktor grad UD41 dan UD44 tidak dibenarkan untuk menganggotai kesatuan. Ia hanya boleh dilakukan oleh doktor junior sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, gerakan itu tetap menolak keputusan kerajaan melanjutkan kontrak dua tahun mereka dalam kerajaan tanpa rancangan yang jelas.

“Kami tetap dengan tuntutan untuk mendapatkan keadilan bagi semua doktor muda negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya