KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) terus kekal relevan kerana ia merupakan platform menyatukan semua pemimpin pelbagai peringkat dan pemain industri dari seluruh dunia untuk berhimpun serta bertukar idea dan pandangan.
Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn. Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, platform itu terus menawarkan sesuatu yang sukar untuk ditandingi iaitu sebuah tempat di mana kerajaan, angkatan tentera, polis, agensi keselamatan dan pemain industri dapat bertemu dengan tujuan yang jelas.
“Ia juga merupakan platform yang kekal terbuka, seimbang dan inklusif dari segi penyertaan, di mana negara dan syarikat berkumpul pada kedudukan yang setara.
DSA bermula pada tahun 1988 sebagai platform untuk menghubungkan pengeluar global dan penyedia perkhidmatan dengan pembuat keputusan dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
“Dari masa ke semasa, ia telah berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar iaitu menjadi sebuah institusi penglibatan yang dibentuk oleh kesinambungan, disiplin dan keyakinan mereka yang kembali saban tahun,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Asmat berkata, penganjuran DSA & NATSEC Asia 2026 mengambil pendekatan yang teliti dan adaptif selepas mengambil kira suasana dinamik global yang semakin berubah dan pertimbangan geopolitik yang sentiasa berkembang.
Beliau berkata DSA & NATSEC Asia 2026 menghimpunkan lebih daripada 1,456 syarikat daripada 63 negara.
“Angka ini bukan sahaja mencerminkan penyertaan yang kukuh dan berdaya tahan, malah menegaskan keyakinan berterusan komuniti pertahanan dan keselamatan antarabangsa terhadap platform ini, ketika kita meneruskan tradisi memudah cara penglibatan peringkat tinggi, peluang perniagaan dan kerjasama antarabangsa yang bermakna.
Edisi tahun ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap relevansi. Sejak sekian lama, DSA & NATSEC Asia dikenali bukan sahaja kerana apa yang dipamerkan, tetapi juga kerana siapa yang dihimpunkannya.
“Keupayaannya menarik menteri, pemimpin pertahanan, delegasi kanan, dan pembuat keputusan dari seluruh dunia kekal sebagai salah satu kekuatan utamanya,” katanya. – UTUSAN










