Dua maut, empat cedera termasuk tiga tentera, pelajar sekolah - Utusan Malaysia

Dua maut, empat cedera termasuk tiga tentera, pelajar sekolah

KEMALANGAN maut membabitkan dua kenderaan di kilometer 134 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Dua maut manakala empat lagi cedera termasuk tiga anggota tentera dan seorang pelajar sekolah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 134 Jalan Kuantan–Kuala Lumpur, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 5.49 petang melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati Perodua Myvi dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Perodua Kancil berusia 72 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit. Isteri mangsa berusia 67 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Temerloh pada pukul 8.55 malam,” ujarnya di sini hari ini.

Mohd. Nasyim berkata, tiga anggota tentera yang menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan dan kini dirawat di zon kuning hospital.

“Seorang lagi mangsa iaitu cucu pasangan berkenaan berusia 13 tahun dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di zon merah,” katanya.

Menurut beliau, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, kering dan mempunyai satu lorong bagi setiap arah dengan garisan tengah sebagai pembahagi. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN