Warga emas tinggal sendirian meningkat 3 kali ganda

Warga emas tinggal sendirian meningkat 3 kali ganda

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 mendapati populasi warga emas di negara ini mencecah 4.1 juta orang, dengan 18.8 peratus daripadanya tinggal bersendirian, hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, statistik NHMS 2025 turut mendedahkan dua cabaran sistemik melibatkan isu mobiliti dan isolasi.

“Kekangan pengangkutan dikhuatiri menjadi hambatan utama yang menghalang mereka daripada mengakses rawatan di fasiliti kesihatan secara konsisten. 

“Isu mobiliti ini bukan sekadar masalah logistik, tetapi faktor kritikal yang menjejaskan kualiti hidup dan keselamatan mereka,” katanya ketika berucap melancarkan Dapatan NHMS 2025: Kesihatan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. 

NHMS 2025 merupakan tinjauan kedua yang menumpukan kepada status kesihatan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, susulan tinjauan pertama yang dijalankan pada 2018. 

Tinjauan ini bertujuan untuk menilai status kesihatan warga emas merangkumi dimensi sosial, mental dan fizikal, seterusnya menyokong usaha untuk menggalakkan penuaan sejahtera.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, isu bebanan kewangan kepada warga emas dan penjaga mendedahkan situasi, di mana satu daripada tiga penjaga dilaporkan memikul bebanan berat yang melampau merangkumi aspek fizikal, emosi dan tekanan kewangan yang signifikan. 

“Kekangan ini semakin meruncing memandangkan hanya 40 peratus rakyat mempunyai simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang mencukupi untuk hari tua. Dilema ekonomi ini memaksa keluarga mendahulukan keperluan asas sehingga aspek jagaan kesihatan terpaksa diketepikan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya 14.7 peratus warga emas di negara ini yang benar-benar menua secara sejahtera dari segi sosial, kognitif, psikologi, fizikal dan kesihatan optimum. 

Katanya, ini kerana beban penyakit kronik melonjak dengan drastik berbanding 2018 dengan hipertensi kini menghimpit 73 peratus warga emas, kolesterol tinggi (76 peratus) dan diabetes mencecah 39 peratus. 

“Dua daripada tiga warga emas atau 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya dua NCD (penyakit tidak berjangkit) manakala satu daripada tiga orang (30 peratus) mempunyai kesemua tiga NCD. 

“Selain itu, kita juga harus memberi perhatian serius kepada ‘pembunuh senyap’ keupayaan fizikal warga emas. Ini kerana tinjauan mendapati 30.6 peratus warga emas kita tidak aktif secara fizikal. 

“Kesannya, 45 peratus daripada mereka kini mengalami sarkopenia atau penyusutan otot yang serius, manakala 60 peratus lagi berisiko mengalami frailti atau kerapuhan fizikal,” katanya. 

Dzulkefly berkata, negara maju seperti Jepun dan Sweden mengambil masa hampir satu abad untuk menyesuaikan sistem dan Malaysia diunjurkan mencapai status Negara Menua menjelang 2036, di mana komposisi penduduk berumur 60 tahun ke atas akan melebihi 15 peratus. 

“Kelajuan penuaan kita adalah antara yang terpantas di dunia. Ini bermakna kita tidak mempunyai masa yang mewah. Kita perlu bertindak sekarang. Visi kita jelas, yakni memastikan warga emas Malaysia bukan sahaja hidup lebih lama, tetapi mereka menua dalam keadaan sihat, aktif, produktif, dan bermaruah,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN