Emosi, sosial kanak-kanak ‘rapuh’ akibat internet tanpa batas

Emosi, sosial kanak-kanak ‘rapuh’ akibat internet tanpa batas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peningkatan masa skrin, kurang berinteraksi dengan orang sekeliling serta gangguan sosial selepas pandemik Covid-19 kini dilihat semakin menjejaskan perkembangan bahasa, keyakinan diri dan kemahiran sosial kanak-kanak dalam masyarakat hari ini.

Situasi tersebut bukan sahaja membimbangkan ibu bapa malah turut membuka perhatian terhadap peningkatan masalah psikologi moden yang semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, perubahan gaya hidup digital memberi kesan besar terhadap perkembangan emosi dan sosial masyarakat khususnya kanak-kanak serta Gen Z.

Menurut beliau, generasi hari ini semakin bergantung kepada teknologi menyebabkan ramai membesar dalam keadaan kurang interaksi emosi secara mendalam sehingga memberi kesan terhadap kesejahteraan mental dalam jangka panjang.

Ramai individu secara fizikal kelihatan berjaya dan produktif namun hakikatnya mereka berasa kosong, terasing dan penat secara emosi dalam kehidupan harian mereka.

“Generasi hari ini berdepan masalah seperti keletihan emosi (emotional burnout), kesunyian, kemurungan berfungsi tinggi (high-functioning depression), masalah tumpuan serta krisis identiti yang masih kurang difahami ramai.

“Masyarakat sering menganggap keadaan itu sekadar tekanan biasa sedangkan ia sebenarnya boleh menjadi petanda masalah kesihatan mental yang lebih serius,” katanya.

Tekanan Generasi Hari Ini

Golongan muda kini hidup dalam dunia yang penuh tekanan dan persaingan yang tinggi sehingga menyebabkan ramai mudah mengalami keletihan mental pada usia muda.

Menurut beliau, tekanan akademik, persaingan kerjaya, ketidaktentuan ekonomi serta budaya membandingkan kehidupan di media sosial menjadi antara faktor utama yang menjejaskan kesejahteraan psikologi mereka.

“Cabaran hari ini berlaku tanpa henti dan ramai tidak mempunyai ruang untuk benar-benar berehat secara emosi,” katanya.

Dalam masa sama, media sosial turut memainkan peranan besar terhadap peningkatan gangguan psikologi moden dalam masyarakat.

Katanya, penggunaan media sosial secara berlebihan boleh menyebabkan masalah gangguan tidur, kesukaran memberi tumpuan serta meningkatkan risiko kemurungan dan keresahan.

“Seseorang mungkin mempunyai ramai pengikut di media sosial tetapi masih merasa sangat sunyi kerana hubungan digital tidak sama dengan hubungan emosi yang sebenar,” katanya.

Burnout Bukan Penat Biasa

Menyentuh mengenai burnout, beliau menegaskan bahawa keadaan itu bukan sekadar keletihan biasa tetapi melibatkan keletihan emosi yang serius.

Burnout boleh menyebabkan seseorang kehilangan motivasi serta mengalami penurunan prestasi dalam pekerjaan dan kehidupan harian.

Jika tidak ditangani lebih awal, keadaan itu boleh berkembang menjadi gangguan kemurungan dan gangguan kebimbangan yang lebih serius.

Keakraban Emosi Semakin Pudar

Sementara itu, Pakar Psikologi Sosial, Dr Adnan Omar berkata, peningkatan masalah kesihatan mental dalam masyarakat hari ini dilihat semakin membimbangkan apabila semakin banyak jenis gangguan psikologi mula dikenal pasti dan menunjukkan peningkatan kes terutama dalam kalangan generasi muda.

pendedahan terhadap permainan video, media sosial, pornografi dan kandungan digital tanpa kawalan boleh merosakkan perkembangan emosi serta kognitif anak-anak.

Ujarnya, keadaan itu perlu dilihat daripada dua sudut utama iaitu pertambahan jenis gangguan mental serta peningkatan kes bagi setiap gangguan yang sedia ada.

Jelas beliau, pertambahan tersebut juga dipengaruhi perkembangan ilmu psikologi dan kaedah diagnosis yang semakin baik berbanding beberapa dekad lalu.

“Antara faktor paling besar yang mempengaruhi peningkatan masalah psikologi hari ini ialah internet serta media sosial yang mengubah cara manusia berinteraksi dan membina hubungan emosi.

“Manusia hari ini masih bersama secara fizikal tetapi tidak lagi bersama secara emosi. Kita hilang keakraban emosi (emotional togetherness) dan keadaan itu mewujudkan pengasingan emosi atau dikenali sebagai emotional isolation dalam masyarakat,” ujarnya.

Katanya, ramai individu hari ini sebenarnya mencari sokongan emosi daripada orang luar seperti kaunselor dan pakar psikologi malah di media sosial kerana tidak lagi mendapat ruang sokongan tersebut dalam keluarga sendiri.

Teknologi berkembang terlalu pantas sehingga budaya dan sistem sosial masyarakat gagal bergerak seiring dengan perubahan tersebut malah internet juga telah melanggar banyak batas perkembangan manusia termasuk dalam proses pembesaran dan perkembangan emosi kanak-kanak.

Beliau menjelaskan pendedahan melampau terhadap permainan video, media sosial, pornografi dan kandungan digital tanpa kawalan boleh merosakkan perkembangan emosi serta kognitif anak-anak.

“Dalam psikologi perkembangan, setiap manusia melalui fasa umur tertentu dengan keutamaan hidup yang berbeza. Kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan terlalu awal kepada konflik dan isu orang dewasa,” katanya.

Teknologi Tanpa Batas Jejaskan Emosi Anak

Ramai ibu bapa hari ini tidak menyedari penggunaan telefon pintar tanpa batas dalam kalangan kanak-kanak boleh memberi kesan besar terhadap pembentukan identiti dan kestabilan emosi mereka.

Beliau turut menjelaskan antara faktor perlindungan paling penting dalam mencegah kemurungan dan bunuh diri ialah kewujudan sistem sokongan sosial yang kuat dalam keluarga serta komuniti.

“Hubungan emosi dalam keluarga sangat penting. Physical togetherness sahaja tidak mencukupi jika tiada emotional togetherness antara ibu bapa dan anak-anak,” jelasnya.
Individu yang merasa disayangi, dipercayai dan didengari mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami tekanan emosi serius serta kecenderungan membunuh diri menurutnya lagi.

Dr. Adnan berkata, masyarakat hari ini juga sedang berdepan krisis panduan hidup apabila ramai ibu bapa sendiri keliru tentang nilai, disiplin dan bentuk pendidikan terbaik untuk anak-anak.

Akademik Sahaja Tidak Cukup

Sekolah tidak seharusnya dilihat sebagai institusi akademik semata-mata sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam membentuk nilai moral dan perkembangan sosial anak-anak.

Ramai ibu bapa yang menekankan pencapaian akademik sehingga aspek pembentukan emosi, nilai dan akhlak semakin dipinggirkan sedangkan semua elemen tersebut saling berkait dalam membentuk manusia yang seimbang.

Beliau berkata, banyak negara luar kini mula mengambil langkah serius mengawal penggunaan internet dan media sosial dalam kalangan kanak-kanak kerana menyedari ancaman besar teknologi terhadap perkembangan manusia.

Ujar beliau, ibu bapa perlu kembali memainkan peranan sebagai sistem sokongan pertama anak-anak dengan membina hubungan emosi yang lebih kuat dalam keluarga.

“Luangkan masa bersama anak-anak tanpa telefon. Bercakap, makan bersama, solat bersama dan bina semula hubungan emosi dalam keluarga kerana itu benteng paling penting untuk kesihatan mental mereka,” katanya.

Ibu Bapa Perlu Lebih Peka

Kesihatan mental anak sebenarnya bermula sejak kecil melalui hubungan yang selamat, kasih sayang, perhatian serta komunikasi yang konsisten daripada keluarga terutama ibu bapa.

Kini, ramai kanak-kanak membesar dalam keadaan ibu bapa sentiasa sibuk bekerja sehingga interaksi dalam keluarga semakin berkurangan dan digantikan dengan telefon, televisyen atau gajet.

Keadaan itu menyebabkan ada anak-anak yang sebenarnya merasa sunyi walaupun tinggal bersama keluarga sendiri kerana kurang mendapat perhatian emosi yang mencukupi.

Ada juga kanak-kanak yang mula menarik diri daripada aktiviti harian, hilang minat terhadap perkara yang mereka suka atau kerap mengadu sakit kepala dan sakit perut tanpa sebab yang jelas.

Namun, ramai ibu bapa masih menganggap keadaan itu sekadar ‘fasa biasa’ atau masalah disiplin tanpa cuba memahami apa yang sebenarnya sedang dilalui oleh anak-anak mereka.

Walhal perubahan tersebut merupakan petunjuk awal bahawa seseorang kanak-kanak sedang mengalami tekanan emosi atau gangguan psikologi.

Malah sikap terlalu menekan anak dalam soal pencapaian akademik tanpa memberi ruang kepada perkembangan emosi yang sihat juga boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka dalam jangka panjang.

Tambahan pula, anak-anak memerlukan ruang untuk bercakap, meluahkan perasaan dan merasa selamat untuk berkongsi emosi tanpa takut dimarahi atau dihakimi jadi mendapatkan bantuan awal daripada kaunselor, ahli psikologi atau pakar berkaitan sangat penting sekiranya ibu bapa mula melihat perubahan ketara terhadap emosi dan tingkah laku anak-anak.

Sokongan emosi yang kuat daripada keluarga merupakan perlindungan paling penting dalam membantu anak-anak membesar dengan lebih stabil dan sihat dari segi mental.

Jelasnya, kerjasama antara ibu bapa, sekolah, institusi kesihatan dan masyarakat secara keseluruhan amat diperlukan bagi membentuk ekosistem yang lebih sihat untuk perkembangan mental kanak-kanak dan remaja.

Tanpa pendekatan menyeluruh ini, masalah kesihatan mental dijangka akan terus meningkat seiring perubahan gaya hidup moden dan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Oleh itu, peningkatan masalah kesihatan mental hari ini tidak boleh dilihat sebagai isu individu semata-mata tetapi perlu difahami dalam konteks sosial, budaya, spiritual dan perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan manusia moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN