Disangka buat kesalahan, rupanya polis beri bantuan - Utusan Malaysia

Disangka buat kesalahan, rupanya polis beri bantuan

RAKESH Chiafongsin sekeluarga menerima kit makanan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Jasin, Asisten Superintenden Meran Anak Emai di Lubok Bandung, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: “Saya sekeluarga terkejut apabila nampak polis di luar rumah, risau juga sekiranya saya ada buat kesalahan yang tanpa sedar sehingga mereka cari sampai ke sini,” kata penduduk Orang Asli Lubok Bandung, Rakesh Chiafongsin, 44.

Dia bagaimanapun kemudian meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan kehadiran polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin itu adalah untuk menyampaikan bantuan keperluan asas sempena Op Bantu. 

“Terima kasih atas keprihatinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyampaikan kit makanan, kami memang amat memerlukannya memandangkan saya hilang punca pendapatan selepas pelaksanaan sekatan pergerakan penuh. 

“Dulu saya ambil upah sebagai sebagai buruh binaan, namun tidak dapat teruskan kerana susah untuk bergerak, saya tidak mempunyai dokumen rasmi untuk kerja tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini. 

Tambahnya, dia kini menyara isteri serta enam orang berusia antara 21 hingga tujuh bulan dengan mencari sayur-sayuran di kawasan berdekatan termasuk paku-pakis, pucuk ubi dan pucuk keledek untuk dijual serta dijadikan juadah.

Sementara itu, seorang mualaf, Omar Abdullah, 33, turut menzahirkan rasa terharu apabila menerima bantuan daripada PDRM selepas mendakwa, keluarganya hampir terputus bekalan makanan kerana tidak lagi dapat mengumpul dan menjual barangan lusuh. 

“Saya, isteri dan tiga orang anak kami meneruskan kehidupan kami dengan bergantung kepada pendapatan harian menjual barangan lusuh, namun sejak awal Jun lalu kami bergelut mencari rezeki kerana tidak dapat bergerak mengumpul besi buruk.   

“Kami tetap bersyukur kerana ramai jiran yang datang membantu, malah hari ini pasukan PDRM yang sememangnya sibuk dengan tugasan sebagai frontliners turut meluangkan masa menyantuni kami,” katanya yang telah setahun memeluk agama Islam. 

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Hedzir Hussin berkata, Op Bantu adalah inisiatif PDRM yang dilakukan serentak di seluruh negara untuk memberikan bantuan awal kepada mereka yang terjejas. 

Katanya, setiap daerah di negeri ini diberikan 300 bakul makanan untuk disampaikan kepada penerima yang telah dikenal pasti melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Pada hari ini sebagai permulaan sebanyak 30 buah bakul atau kit makanan telah disampaikan oleh IPD Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah kepada keluarga yang memerlukan.

“Usaha ini akan diteruskan sehingga kesemua 300 bakul makanan disalurkan sebagai bantuan awal untuk memastikan mereka yang terjejas teruk tidak terputus bekalan makanan atau keperluan asas ketika tempoh sekatan pergerakan penuh ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN