Dirempuh treler ketika iring kren tunda - Utusan Malaysia

Dirempuh treler ketika iring kren tunda

MANGSA, M. Mahendran mati ditempat kejadian selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah treler di kilometer 22.3 PLUS arah Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya dirempuh sebuah treler membawa muatan elektronik di kilometer 22.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa M. Mahendran, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Mitsubishi Triton dalam perjalanan dari arah Klang, Selangor ke Johor.

Jelasnya, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang mengiringi sebuah kenderaan kren tunda untuk menuju ke lokasi sama dan kedua-duanya berada di lorong paling kiri.

“Ketika itu mangsa dikatakan sedang memandu di belakang kren tunda tersebut sebelum tiba-tiba datang sebuah treler membawa muatan barangan elektrik merempuh kenderaannya daripada belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan 4×4 tersebut turut melanggar belakang kren tunda terbabit. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, treler tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke Singapura.

“Kedua-dua pemandu treler dan kren tunda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati kejadian berlaku di laluan berselekoh dengan tiga lorong dan tidak mempunyai lampu jalan. Hasil siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku disebabkan kegagalan mengawal kenderaan,” jelasnya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN