Buruh warga asing hampir kebuluran, mangga jadi santapan alas perut - Utusan Malaysia

Buruh warga asing hampir kebuluran, mangga jadi santapan alas perut

MAS Imran Adam (kiri) menyerahkan sumbangan barang makanan kepada buruh binaan warga asing yang tinggal di rumah kongsi di Sungai Rengit selepas terputus bekalan makanan sejak sebulan lalu di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bukan sahaja menjejaskan rakyat negara ini, tetapi sekumpulan buruh binaan warga asing yang tinggal di rumah kongsi di Sungai Rengit di sini hampir kebuluran selepas terputus bekalan makanan sejak sebulan lalu.

Seorang buruh binaan warga Indonesia, Nor Vetoto Katlin, 52, berkata, demi untuk mengalas perut, mereka menjadikan buah mangga dan hasil memancing ikan sebagai makanan harian.

Dia turut mendakwa kira-kira 20 pekerja binaan yang tinggal di rumah kongsi berkenaan masih belum dibayar gaji hingga tidak mampu membeli barangan dapur atau makanan.

“Dalam keadaan terdesak, kami kumpulan buruh terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar hanya makan buah mangga selain memancing ikan di sebuah sungai berhampiran demi meneruskan kehidupan.

“Seperti saya, sudah lima bulan bekerja di sini, namun ini adalah keadaan paling mencabar bagi saya dan rakan kerana kami hampir kebuluran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Nor Vetoto, projek pembinaan rumah kedai yang menjadi tapak mereka bekerja sudah dihentikan buat sementara.

Katanya, majikan-majikan mereka yang terdiri daripada individu berbeza juga telah dihubungi sejak beberapa minggu lalu bagi menyampaikan maklumat berkaitan nasib mereka dengan harapan dibantu.

Sementara itu, Kosdianto Pinmayar, 52, berkata, dia dan rakannya juga berkongsi berkaitan situasi mereka dengan kenalan demi mendapatkan bantuan.

“Sudah beberapa minggu kami tidak makan nasi dan hanya makan apa yang ada sahaja termasuk buah-buahan. Kami khuatir ada yang jatuh sakit selain keadaan bertambah buruk akibat kebanyakan kami sudah kehabisan wang.

“Kami bersyukur kerana hari ini ada pihak yang sanggup memberikan makanan dan menyalurkan barangan dapur bagi menampung keperluan,” katanya.

Terdahulu nasib kumpulan pekerja buruh itu mendapat perhatian daripada Pasaraya Econsave Cash & Carry yang hadir menyerahkan sumbangan barangan makanan.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan barangan dapur bernilai RM500 yang merupakan antara khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kepada kumpulan berkenaan.

“Mereka juga antara golongan yang terjejas, walaupun bukan warganegara kami tetap turun padang bagi membantu apa yang mampu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan perkara berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN