PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung cadangan penambahan slot bagi saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) musim 2026-27, meskipun pelbagai spekulasi sudah mula tular.
Cadangan awal oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC untuk meningkatkan jumlah penyertaan daripada 24 kepada 32 pasukan dilihat sebagai langkah memperkasa kejohanan kelab paling berprestij di Asia itu, selari dengan peningkatan daya saing kelab-kelab di rantau ini.
Namun begitu, laporan yang tular di media sosial mendakwa agihan slot baharu akan lebih memihak kepada kuasa besar bola sepak Asia seperti Arab Saudi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul tampil menjernihkan keadaan dengan menegaskan bahawa segala dakwaan tersebut hanyalah sebahagian daripada cadangan yang masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
“Saya sudah melihat hantaran di media sosial. Ia hanya salah satu cadangan mengenai pengembangan ACLE dan terdapat beberapa cadangan lain.
“Cadangan penambahan slot ini bertujuan untuk menambah baik ACLE, memandangkan kelab di rantau ini menunjukkan peningkatan dalam ACL2. Banyak kelab kini melabur besar untuk menjadi lebih kompetitif.
“Namun, cadangan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bolasepak Profesional, Jumaat ini sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif AFC untuk dimuktamadkan. Tiada apa yang diputuskan setakat ini,” katanya.
Berdasarkan laporan tidak rasmi yang tersebar, Arab Saudi dan Jepun dikatakan berpotensi memperoleh enam slot, diikuti UAE serta Korea Selatan dengan lima slot, manakala Malaysia bersama beberapa negara lain dijangka menerima dua slot iaitu satu ke ACLE dan satu lagi ke ACL2.
Bagaimanapun, segala keputusan akhir masih bergantung kepada hasil mesyuarat rasmi AFC dalam masa terdekat, dengan semua pihak kini menunggu pengumuman sebenar yang bakal menentukan hala tuju baharu saingan kelab Asia itu. – UTUSAN










