Dedah laporan audit AFC demi ketelusan, akauntabiliti FAM

Dedah laporan audit AFC demi ketelusan, akauntabiliti FAM

PEKAN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyokong cadangan supaya laporan audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didedahkan kepada umum bagi memastikan aspek akauntabiliti dan integriti terus dipelihara.

Menurut Pekan, pendedahan laporan itu penting memandangkan ia melibatkan penggunaan dana daripada kerajaan serta syarikat korporat yang perlu dipertanggungjawabkan secara telus kepada pihak berkepentingan dan rakyat.

“Ada asasnya permintaan itu kerana ia lebih kepada akauntabiliti yang berkaitan dengan integriti, terutamanya membabitkan dana daripada kerajaan dan syarikat korporat.

“Kalau guna duit sendiri tidak mengapa, tetapi sekarang kita bercakap mengenai dana daripada kerajaan dan syarikat korporat yang perlu dipertanggungjawabkan dan telus kerana ia berkait rapat dengan urus tadbir dan tata kelola,” katanya.

Bagaimanapun, Pekan berpandangan laporan audit tersebut memadai jika dibentangkan di Parlimen untuk tujuan pendedahan kepada umum tanpa perlu dijadikan bahan perdebatan.

Menurutnya, langkah itu tidak boleh dianggap sebagai campur tangan kerajaan dalam urusan badan bola sepak negara kerana isu yang dibangkitkan lebih menjurus kepada soal akauntabiliti dan integriti.

“Ini bukan campur tangan kerajaan sebab apabila ada isu yang melibatkan akauntabiliti dan integriti, takkan tidak boleh ambil tahu. Ini tiada kaitan dengan kerajaan. Syarikat korporat juga ingin tahu dana yang diberikan itu macam mana ia dibelanjakan.

“Takkan orang luar tak boleh ambil tahu. Cuma nak dibincangkan dalam Parlimen itu bagi saya tak perlulah. Cukup sekadar dibentangkan di peringkat Parlimen dan tidak perlu terlalu terperinci malah tidak perlu diperdebatkan. Saya tidak fikir ini campur tangan kerajaan,” katanya.

Pekan turut mempersoalkan mengapa maklumat berkaitan penerimaan dana sering diumumkan kepada umum, namun apabila timbul keperluan untuk mengetahui bagaimana wang tersebut dibelanjakan, ia dianggap sensitif.

“Kenapa masa dapat dana kena beritahu orang, tetapi apabila orang nak tahu macam mana duit itu dibelanjakan, tiba-tiba cakap tidak boleh sebab bimbang campur tangan kerajaan. Kalau tidak buat salah laku, nak takut apa?” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dilaporkan mahu laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan isu tadbir urus badan induk bola sepak negara itu dibahaskan secara menyeluruh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN