PETALING JAYA: Pelaksanaan audit terhadap semua stesen minyak khususnya yang berada berhampiran pintu sempadan negara perlu dilakasanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan serta membendung aktiviti penyeludupan petrol dan diesel.
Tindakan itu dijangka mampu menyelamatkan kerajaan daripada menanggung kerugian jutaan ringgit akibat aktiviti penyeludupan minyak yang aktif dijalankan khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara.
Pelaksanaan audit itu dianggap tindakan paling sesuai bagi mengetahui pergerakan bekalan petrol dan diesel bersubsidi daripada disalahguna pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan susulan krisis harga bahan api dihadapi seluruh dunia.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, mekanisme itu sepatutnya sudah dilaksanakan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi kawal aktiviti salah guna bahan petrol dan diesel bersubsidi.
Katanya, KPDN boleh menggunakan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengetahui urus niaga penjualan petrol dan diesel di setiap stesen minyak memandangkan transaksi itu sudah pun diperketatkan dengan penggunaan MyKad.
“Ini sepatutnya tugas KPDN, mereka bukan saja menyelidik tetapi memantau pergerakan petrol dan diesel di setiap stesen minyak seluruh negara khususnya berhampiran sempadan.
“Ia merupakan asas penting kerana kerajaan masa kini tidak dapat memberikan harga bahan api rendah tetapi ia boleh dikawal dari sudut salah guna oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pemantauan berterusan dan tindakan tegas perlu memandangkan negara kini terhadap krisis harga minyak akibat pasaran global yang tidak menentu.
“Sekiranya didapati tahap minyak di stesen-stesen ini berubah mendadak setiap hari barulah lakukan audit untuk mengetahui dengan lebih terperinci. Tak susah pun hendak mengawal stesen minyak ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pelaksanaan audit di stesen minyak berhampiran sempadan adalah inisiatif baik bagi memastikan dan mengekang ketirisan minyak khususnya melibatkan RON95 bersubsidi.
Katanya, mekanisme itu dapat membendung dan memperkukuhkan penguatkuasaan aktiviti penyeludupan yang masih berlaku di sempadan negara dan kembali meningkat ketika dunia diancam peperangan.
“Kesan ketara apabila peperangan kembali berlaku adalah terhadap penawaran minyak mentah dan harga yang meningkat mendadak. Makanya wajar bagi kerajaan melindungi hak subsidi dan wang rakyat untuk kegunaan domestik sahaja.
“Jadi langkah pengauditan ini dilihat antara mekanisme yang mampu memberi impak ke atas pengawal penyeludupan daripada terus berleluasa,” katanya.
Kelmarin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup 700,000 liter diesel Euro 5 dianggar bernilai lebih RM5.43 juta di perairan Bagan Ajam. –UTUSAN










