NEW DELHI: Polis India mengetatkan kawalan keselamatan di New Delhi semalam, menjelang protes yang dianjurkan ‘Parti Rakyat Lipas’ susulan dakwaan penyelewengan dalam peperiksaan utama negara.
Parti parodi yang dikenali sebagai Parti Janta Lipas (CJP), dipercayai menyindir Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, kini meraih jutaan pengikut di media sosial sejak dilancarkan bulan lalu.
Gerakan itu muncul selepas Ketua Hakim Negara, Surya Kant, menyamakan golongan muda yang mengkritik kerajaan sebagai ‘lipas atau parasit’ ketika prosiding mahkamah, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan belia.
Kant kemudian mendakwa kenyataan itu disalah tafsir dan diambil di luar konteks. Populariti CJP melonjak, dengan slogan ‘barisan politik untuk belia, oleh belia demi belia’.
Pengasas CJP, Abhijeet Dipke, tiba di ibu negara India dari Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu selepas mengumumkan rancangan untuk memohon kebenaran polis bagi mengadakan perhimpunan aman.
“Kita perlu memimpin gerakan ini dengan kasih sayang dan keamanan,” tulis Dipke, 30, yang merupakan graduan Universiti Boston menerusi kenyataan di media sosial.
Dipke menggesa Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan susulan kritikan yang dihadapinya berhubung dakwaan penyelewengan dalam peperiksaan, termasuk kebocoran kertas soalan dan gangguan teknikal.
India mengenakan kawalan ketat terhadap kandungan media sosial, dan beberapa akaun media sosial milik CJP disekat.
Bagaimanapun, akaun Instagram gerakan itu yang masih boleh diakses di India, yang mempunyai lebih 22 juta pengikut, lebih dua kali ganda berbanding pengikut BJP di platform sama, serta mengatasi 13 juta pengikut parti pembangkang utama, Kongres.
Semalam, kawalan keselamatan dipertingkatkan di lapangan terbang dan lokasi protes di Jantar Mantar, dengan penghadang besi dipasang di beberapa lokasi utama.
Kenderaan kawalan rusuhan dan van tahanan turut ditempatkan di kawasan berkenaan, menurut wartawan AFP di lokasi.










