Israel semakin 'dibenci' dunia

Israel semakin ‘dibenci’ dunia

PENUNJUK perasaan membakar poster Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika protes membantah serangan AS-Israel ke atas Iran di Istanbul pada 1 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pandangan negatif terhadap Israel dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, dilaporkan meningkat sejak tahun lalu di seluruh Eropah, Asia, Asia Barat dan Amerika Latin.

Menurut tinjauan baharu Pusat Penyelidikan Pew, 32 daripada 36 negara mempunyai pandangan sangat tidak menggalakkan dan agak tidak menggalakkan terhadap Israel, dengan hanya responden di India, Ghana, Nigeria serta Kenya menunjukkan bersikap positif terhadap negara itu.

Tinjauan tersebut dijalankan antara 8 Februari hingga 13 Mei tahun ini. Perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari dan menjejaskan negara di seluruh dunia, sebahagiannya dipercayai berpunca daripada kesan penutupan Selat Hormuz.

Pew melaporkan, Turkiye, Pakistan, Malaysia, Indonesia, Jepun, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki mencatatkan peratusan tertinggi pandangan tidak menggalakkan terhadap Israel, dengan Turkiye sebanyak 96 peratus serta Jepun 83 peratus.

Manakala negara-negara berbahasa Inggeris termasuk AS, Kanada, Australia dan United Kingdom (UK) mencatatkan majoriti pandangan tidak menggalakkan terhadap Israel, masing-masing pada kadar 60, 65, 79 dan 69 peratus.

Di Eropah, kesemua 10 negara yang dikaji turut menunjukkan pandangan secara umum tidak menggalakkan terhadap Israel, dengan Sweden dan Sepanyol mencatatkan kadar tertinggi iaitu 78 peratus.

Tinjauan itu dijalankan ketika sentimen global terhadap Israel dilaporkan semakin merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini, susulan perang di Gaza serta konflik lain di rantau tersebut, dengan peningkatan ketara pandangan negatif dari tahun ke tahun.

Sebahagian kesan daripada konflik di Gaza dilihat dalam tinjauan Pew tahun lalu, namun sejak itu berlaku peningkatan baharu dalam pandangan negatif terhadap Israel, yang didakwa berkait dengan perang di Iran.

Tinjauan Pew juga menunjukkan golongan di sayap kiri spektrum politik cenderung mempunyai pandangan lebih negatif terhadap Israel berbanding mereka di sayap kanan. 

Jurang ideologi paling besar direkodkan di AS, di mana 83 peratus golongan liberal mempunyai pandangan negatif, berbanding hanya 37 peratus dalam kalangan konservatif.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN