PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin mengutuk keras serangan Israel di kampung Al-Mughayyer serta menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan keganasan itu dan melindungi rakyat Palestin.
Menurut kenyataan kementerian itu, serangan yang berlaku pada Selasa itu menyasarkan sebuah sekolah di kampung berkenaan, mengakibatkan dua orang awam terbunuh termasuk seorang kanak-kanak, manakala kira-kira empat orang lagi cedera.
Kementerian itu menegaskan, serangan berkenaan dilakukan dengan koordinasi penuh bersama tentera Israel, sekali gus mencerminkan corak keganasan sistematik yang semakin berleluasa di wilayah Palestin yang diduduki.
“Tindakan Israel yang melibatkan pembunuhan, kemusnahan dan kecurian harta merupakan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan, selain sebahagian daripada dasar pengusiran paksa terhadap rakyat Palestin.
“Insiden di Al-Mughayyer mencerminkan usaha berterusan pihak pendudukan untuk mewujudkan realiti paksaan melalui keganasan, di samping melaksanakan apa yang disifatkan sebagai ‘pembersihan etnik secara senyap,” katanya.
Kementerian tersebut turut menegaskan bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa dalam memastikan akauntabiliti serta menghentikan aktiviti penempatan haram hanya menggalakkan peningkatan jenayah terhadap rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Palestin menggesa tindak balas antarabangsa yang lebih serius dan bersatu, melangkaui sekadar kenyataan kecaman, khususnya daripada negara-negara Kesatuan Eropah. – UTUSAN










