BANDAR GAZA: Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin maut dalam serangan udara dan pertempuran antara kumpulan pejuang Hamas serta puak Palestin yang disokong Israel di tengah Gaza.
Serangan itu disasarkan kepada anggota keselamatan Hamas yang terlibat dalam pertembungan dengan puak ‘tali barut Israel’ di timur kem pelarian Maghazi.
Jumlah sebenar mangsa maut akibat serangan udara atau pertempuran di darat masih belum diketahui.
Jurucakap Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah berkata, jenazah mangsa dibawa ke hospital, manakala puluhan lagi cedera, termasuk sebahagiannya dilaporkan kritikal.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh tentera Israel atau Hamas setakat ini.
Saksi melaporkan, insiden bermula apabila puak anti-Hamas yang disokong Israel membuat sekatan di timur Maghazi dan diserang oleh anggota keselamatan Hamas, sehingga mencetuskan pertempuran.
Saksi turut berkata, dron Israel ‘campur tangan’ untuk menyokong puak militan tersebut, melakukan serangan terhadap anggota Hamas di tiga lokasi.
Israel dan Hamas saling menuduh pihak lawan berulang kali melanggar gencatan senjata yang dipersetujui hampir enam bulan lalu.
Sekurang-kurangnya 723 rakyat Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan Israel sejak gencatan senjata itu, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah tersebut.
Tentera Israel pula berkata, lima askarnya terbunuh dalam serangan kumpulan Palestin sepanjang tempoh yang sama.
Isu pelucutan senjata menjadi antara halangan utama kepada fasa kedua pelan keamanan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Minggu lalu, delegasi Hamas mengadakan pertemuan dengan pengantara Mesir, Qatar dan Turkiye di Kaherah bagi memberikan respons awal terhadap cadangan daripada Lembaga Keamanan yang diketuai AS agar kumpulan Palestin melucutkan senjata mereka.
Ahad lalu, jurucakap sayap bersenjata Hamas menolak sebarang perbincangan mengenai pelucutan senjata sebelum Israel menunaikan komitmennya di bawah fasa pertama pelan damai Trump.- AGENSI










