523 penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan - Utusan Malaysia

523 penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan

SEJUMLAH penunjuk perasaan mengadakan protes di tengah London, Sabtu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Polis berkata bahawa mereka telah menahan lebih 500 penunjuk perasaan pro-Palestin dalam satu demonstrasi bagi menyokong kumpulan yang diharamkan, Palestine Action di London, United Kingdom (UK) pada Sabtu.

Pegawai polis mengangkat dan membawa keluar para aktivis di tengah sorakan dan tepukan daripada penunjuk perasaan lain yang berkumpul untuk demonstrasi di Trafalgar Square, ibu negara itu.

Para penunjuk perasaan memegang plakad yang menyatakan sokongan kepada kumpulan yang diharamkan itu, sehingga menyebabkan mereka ditahan.

Polis  memaklumkan di platform media sosial X, sejurus sebelum tengah malam, bahawa mereka telah menahan 523 individu berusia antara 18 hingga 87 tahun.

Kumpulan Palestine Action telah diharamkan sebagai sebuah organisasi pengganas pada Julai tahun lalu.

Ia menjadikan keahlian atau sokongan terhadap kumpulan itu satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum sehingga 14 tahun penjara.

Mahkamah Tinggi di London mengekalkan cabaran terhadap larangan itu pada pertengahan Februari, dengan menyatakan bahawa ia telah mencabuli hak kebebasan bersuara.

Kerajaan telah diberikan kebenaran untuk merayu keputusan tersebut.

Polis menghentikan sementara penahanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum mengumumkan pada akhir Mac bahawa mereka akan menyambung semula tindakan tersebut.

“Adalah sangat penting untuk terus hadir,” kata Freya, 28, pengurus sebuah pertubuhan alam sekitar di London. Beliau antara mereka yang duduk di bahagian hadapan kumpulan penunjuk perasaan.

“Penting untuk kita semua terus menentang genosid. Kerajaan mungkin berubah-ubah dalam hujah undang-undang mereka, tetapi prinsip moral orang-orang di sini tidak berubah,” tambahnya.

Hampir 3,000 tangkapan telah dibuat sejak larangan terhadap Palestine Action dikuatkuasakan, kebanyakannya kerana membawa plakad yang mempertahankan kumpulan itu. Ratusan individu kini berdepan pertuduhan.

Penunjuk perasaan, Denis MacDermot, 73, dari Edinburgh berkata, beliau pernah ditahan sebelum ini dan tidak teragak-agak untuk hadir sekali lagi.

“Saya menyokong mereka yang hebat ini,” katanya sambil melambai ke arah penunjuk perasaan lain.

Penganjur protes, Defend Our Juries berkata, ratusan orang telah mengambil bahagian dalam demonstrasi Sabtu itu sebagai bantahan terhadap keterlibatan kerajaan UK dalam genosid Israel di Gaza serta tindakan keras yang tersasar terhadap protes aman di dalam negara. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN