Bas diubah suai jadi bank makanan - Utusan Malaysia

Bas diubah suai jadi bank makanan

ZAMBRI Mat menyusun barangan makanan yang disediakan di dalam bas yang diubah suai menjadi bank makanan di Taman Budiman, Alor Setar. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang usahawan bas ekspres dan syarikat pelancongan mengambil inisiatif mengubah suai bas milik syarikat tersebut untuk dijadikan bank makanan bagi manfaat golongan memerlukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarah Urusan Bintong Express & Holidays Sdn. Bhd., Zambri Mat, 42, berkata, bas tersebut yang diubah suai dengan ditanggalkan kerusinya akan ditempatkan selama sebulan di Taman Budiman di sini.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan kemudahan tersebut pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang.

“Sesiapa yang hendak menyumbang, boleh meletakkan barangan di sini manakala siapa yang memerlukan, boleh datang dan mengambil barangan yang ada seperti beras, teh, gula, susu, minyak masak dan biskut.

“Tiada soalan akan ditanya dan tiada borang yang perlu diisi. Cumanya sesiapa yang datang mengambil bantuan ini diminta benar-benar mengambil barangan diperlukan dan bukannya berniat untuk membuat stok harian di rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, syarikatnya sebelum ini bercadang untuk menjadikan bas tersebut sebagai bas henti-henti namun tidak mendapat sambutan.

“Daripada bas ini terbiar, lebih baik saya gunakannya untuk manfaat pihak memerlukan. Mereka yang memerlukan bantuan boleh masuk ke dalam bas melalui pintu belakang, mengambil barang diperlukan dan keluar menerusi pintu depan.

“Saya juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menjadikan bas ini sebagai bank makanan. Mungkin syarikat atau pasar raya tertentu boleh sediakan barangan manakala pemandu dan minyak bas pula saya sediakan,” katanya.

Sementara itu, seorang individu yang hadir bagi mendapatkan bantuan tersebut, Saadiah Bakar, 51, berkata, dia gembira kerana berpeluang mendapatkan bantuan yang disediakan di dalam bas tersebut.

“Saya bekerja sebagai tukang cuci pejabat dan sebelum ini, turut mengambil upah mencuci rumah orang.

“Dalam keadaan sekarang, saya tak dapat lagi melaksanakan kerja-kerja mencuci rumah orang dan itu sudah tentu menjejaskan pendapatan ketika suami tidak dapat bekerja kerana sakit,” katanya.

Seorang lagi individu yang hadir untuk mendapatkan bantuan makanan, Salmah Mohd. Ariff, 58, dari Kampung Keriang Pulau di sini berkata, beliau merasa lega kerana berpeluang untuk mendapatkan pelbagai bahan asas antaranya tepung gandum, bihun dan beras.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan usaha dijalankan ini. Diharap usaha ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN