BUKAN segelintir, tapi ramai juga pelakon senior yang lantang menyuarakan isu bayaran tinggi diberikan kepada pelakon, yang asalnya pempengaruh media sosial dan tiada pengalaman berlakon.
Bukan menidakkan rezeki orang, tetapi dalam kalangan pelakon senior ada juga yang merasakan tidak adil apabila sejumlah besar kos pembikinan drama atau filem itu dilaburkan untuk bayaran mahal golongan pempengaruh, sehingga gaji pelakon lain dan kru produksi terpaksa dikurangkan.
Pempengaruh, penyanyi dan pelakon muda, Alyssa Dezek mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu ini.
Tidak menyebelahi mana-mana pihak, menurut Alyssa, kadar setimpal wajar dibayar bagi hasil kerja yang memuaskan serta tempoh pengalaman, tidak kiralah pempengaruh atau pun tidak.
“Jika pempengaruh itu berpengalaman dalam bidang lakonan dan mampu memberi persembahan yang bagus selain menjaga disiplin di set penggambaran, kenapa tidak?
“Tambahan lagi individu tersebut mempunyai pengikut media sosial yang ramai. Ya, bagi saya tiada isu kalau mahu letakkan bayaran yang tinggi.
“Namun kalau tiada pengalaman, tidak wajarlah minta bayaran tak masuk akal. Tidak kisahlah pengikut media sosial anda ramai atau tidak,” katanya.
Disoal sama ada dia menjadi rebutan penerbit gara-gara pengikut Instagram mencapai angka 2.2 juta, Alyssa tidak menafikan perkara itu.
“Sebenarnya hal mengenai tawaran kerja ini diuruskan oleh ibu saya. Tapi saya tak nafikan terpaksa menolak banyak tawaran kerana sebelum ini tumpuan saya lebih kepada SPM,” jelasnya.

Kata Alyssa, sebagai penggiat seni, dia bersikap profesional dengan meletakkan kadar bayaran tertentu dan tidak pernah menuntut bayaran yang tidak setara dengan hasil kerja diberikan.
“Saya ada kadar bayaran (rate card) yang telah ditetapkan. Saya tidak akan sesekali bersikap ‘demanding’, letak harga terlalu tinggi hanya kerana pengikut media sosial yang ramai.
“Dan saya bersikap terbuka. Kalau penerbit bersetuju dengan bayaran yang saya letakkan, maka saya sedia bekerjasama. Jika tidak, anggap sahaja itu bukan rezeki saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Alyssa yang merekodkan keputusan 9 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memaklumkan sedia menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi meskipun rancak merencana perjalanan karier seni.
Alyssa atau Aryanna Alyssa Mohamed Hafidz berkata dia mahu menjadi anak seni berilmu, justeru enggan mengabaikan pelajaran walaupun sudah membina tapak sebagai pempengaruh media sosial dan penggiat dunia hiburan tanah air.
“Jangan tinggalkan pelajaran, walaupun kita sudah ada kerjaya di usia muda. Saya ini dibesarkan dalam keluarga yang pentingkan pendidikan.
“Percayalah, pelajaran menjamin masa depan. Ada orang kata SPM ini sekadar permulaan, perjalanan masih jauh. Itu menunjukkan menimba ilmu ini tidak akan pernah habis.
“Tak ada masalah menjadi artis atau pempengaruh, tapi jadilah yang berilmu dan beradab supaya dapat mennggunakan pengaruh untuk mengajak ke arah kebaikan. Jadilah orang yang bermanfaat kepada masyarakat,” kongsinya.
Alyssa menganggap pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM sebagai anugerah Allah, selepas bertungkus lumus dan berkorban banyak perkara selama satu tahun.
“Saya fokus sepanjang tahun itu, kurangkan aktiviti berlakon, kurangkan penggunaan media sosial atau bermain permainan video. Saya bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran, mencuri masa di ketika bekerja di set penggambaran.
“Saya juga menjaga pemakanan, banyak makan buah-buahan, selain amalkan kismis untuk kuatkan akal. Itu juga menjadi saranan mak dan ayah saya,” katanya lagi.









