PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka menggubal Akta Muzik dan Kumpulan Wang Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) tahun depan sebagai pelan keluar pasca-Covid-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dua perkara itu diperhalusi PIMM yang bakal diwujudkan dalam masa terdekat untuk membantu pemuzik.
“Insya-Allah memang ada perancangan untuk tahun depan dan saya sudah berjanji dalam mesyuarat Kabinet, kita tidak akan ganggu peruntukan pihak kerajaan ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi ramah mesra dengan sekumpulan 11 penerima Dana Industri Muzik Program Hiburan Dari Rumah (HDR) secara maya hari ini.
Mereka adalah sebahagian daripada 990 penerima skim itu dari seluruh negara di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) yang dilancarkan pada 5 Februari lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dua perkara tersebut tidak akan diwujudkan dalam keadaan tergesa-gesa kerana dibimbangi boleh menjejaskan fokus negara bagi memerangi pandemik.
Sementara itu, kumpulan wang berkenaan jelas Saifuddin, bagi tujuan pengagihan kewangan yang ketika ini seperti dilambakkan kepada Dana Kandungan Digital Prisma tanpa pembahagian spesifik.
Ini membolehkan pemuzik membeli peralatan diperlukan kerana beliau difahamkan, ada ramai terpaksa gadai alat muzik sendiri bagi tampung keperluan hidup sejak kawalan pergerakan.
“Sebahagian besar mereka ini sudah hilang sumber pendapatan dan jika kerajaan buka sektor muzik kelak, apa alat yang tinggal untuk dimainkan sebab semua sudah dijual,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE