Penguat kuasa SWCorp menyamar, pembuang sampah terus diberi notis - Utusan Malaysia

Penguat kuasa SWCorp menyamar, pembuang sampah terus diberi notis

KETUA Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed (kanan) bersama Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan vest perintah khidmat masyarakat yang akan dipakai oleh pesalah ketika tinjauan di Larkin Sentral, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan melakukan penyamaran dalam melaksanakan tindakan terhadap kesalahan pembuangan sampah di tempat awam.

Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan tindakan dapat diambil secara berkesan terhadap pelaku di lokasi yang dikenal pasti.

Katanya, operasi penguatkuasaan adalah melibatkan rondaan fizikal dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dengan semua pesalah terus diberikan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK), dirakam keterangan dan dibuka kertas siasatan sebelum pendakwaan dibuat.

“Tindakan penguatkuasaan ini akan melibatkan penguat kuasa yang lengkap memakai pakaian seragam ataupun anggota yang menyamar sebagai orang awam.

“Pelbagai medium pemantauan akan dilaksanakan sama ada secara fizikal di lapangan, pemantauan menggunakan CCTV, aduan orang awam serta rondaan di lapangan.

“Selain itu, SWCorp juga akan bekerjasama dengan agen­si-agensi penguatkuasaan berkaitan dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu di lapangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada 2 Januari lalu, akhbar ini melaporkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk warga asing dan kanak-kanak yang didapati membuang, me­nempatkan atau meninggalkan sisa di kawasan awam.

Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat yang berkuat kuasa tahun ini membuktikan bahawa tiada mana-mana pihak yang kebal daripada undang-undang.

Loy Sian berkata, jaminan agar pelaksanaan penguatkuasaan dijalankan secara telus dan adil sentiasa menjadi keutamaan, demi memastikan tindakan yang diambil tidak bersifat selektif atau menimbulkan persepsi berat sebelah.

“Semua operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara telus tanpa mengira lokasi, jantina mahupun kategori umur.

“Anggota penguat kuasa te­lah diberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya bagi memastikan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan adil dan berhemah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN