KUALA TERENGGANU: Tiada perbincangan khas antara kepemimpinan Pas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kemelut dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN).
Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pemimpin parti itu yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar sememangnya mempunyai tanggungjawab untuk berurusan dengan Perdana Menteri bagi hal ehwal pentadbiran negeri masing-masing, namun setakat ini tiada sebarang perbincangan khas seperti yang didakwa.
Malah katanya, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang pertemuan atau perbincangan lain antara Pas dan Perdana Menteri dalam mesyuarat rasmi parti.
“Setakat ini, dalam tiga Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Pas serta beberapa Mesyuarat Khas Pas yang saya hadiri, tidak pernah dilapor atau dibincangkan mengenai sebarang perbincangan lain dengan PMX (Perdana Menteri),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahusin Wan Zain yang mengatakan Pas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri susulan kemelut dalaman yang melanda PN.
Menurut Ahmad Amzad, perkara tersebut juga tidak pernah menjadi perbualan dalam kalangan pemimpin Pas di luar mesyuarat rasmi.
“Perbualan tidak rasmi sesama kami pemimpin pun tidak pernah dengar perkara ini. Saya anggap dakwaan tersebut sebagai serkap jarang atau sekadar spekulasi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pertemuan pemimpin Pas yang berjawatan Menteri Besar seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah,
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan Perdana Menteri adalah perkara biasa serta selaras dengan tanggungjawab pentadbiran negeri.
“Sebarang pertemuan melibatkan Menteri Besar adalah atas urusan rasmi berkaitan kepentingan negeri dan tidak boleh disalah tafsir sebagai perbincangan politik atau rundingan parti.
“Pas tetap komited memperkasa PN dan mengusahakan penyatuan ummah dengan mengajak orang Melayu bersatu sebagai satu kekuatan politik yg kukuh dan stabil dengan disertai rakan-rakan bukan Melayu yang sederhana dan tidak melampau dalam mempertikai perkara perkara sensitif kepada kedudukan Islam serta orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










