TEHERAN: Pihak berkuasa Iran mengumumkan pemberian elaun bulanan kepada setiap rakyatnya bagi mengurangkan tekanan ekonomi selepas lebih seminggu protes besar-besaran di seluruh negara.
Jurucakap kerajaan, Fatemeh MoHajerani berkata, setiap individu akan menerima kira-kira satu juta Toman (RM28.30) seorang setiap bulan, yang akan dikreditkan ke akaun mereka.
Beliau berkata, jumlah tersebut akan diberikan kepada semua rakyat Iran selama tempoh empat bulan untuk digunakan membeli barangan tertentu dan bertujuan mengurangkan tekanan ekonomi ke atas rakyat.
Di Iran, yang mempunyai populasi melebihi 85 juta orang, gaji minimum adalah sekitar AS$100 (RM405), manakala purata gaji bulan sekitar AS$200 (RM810).
Kebanyakan rakyat Iran menggunakan telefon bimbit dan kad debit untuk urusan pembelian harian berbanding wang tunai.
Ekonomi Iran bergelut dengan sekatan keras Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa yang semakin ketat terhadap program nuklear Teheran, di mana Disember lalu mencatatkan kadar inflasi tahunan sebanyak 52 peratus.
Mata wang negara itu kehilangan lebih satu pertiga daripada nilainya berbanding dolar AS sepanjang tahun lalu, sekali gus menyebabkan penurunan mendadak kuasa beli rakyat dan rasa tidak puas hati yang meluas di seluruh negara.
Ahad menandakan hari kelapan protes di republik Islam itu, susulan ketidaktentuan ekonomi selepas kejatuhan nilai mata wang.
Menurut AFP dan laporan media, protes tersebut merebak ke sekurang-kurangnya 40 bandar, kebanyakan di bahagian barat negara itu.
Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh akibat pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.- AFP











