
MEKAH: Penghantaran barangan kurier jemaah haji dari tanah suci ke Malaysia kini mencecah lima tan sehari menjelang kemuncak ibadah wukuf di Arafah.
Penolong Pengurus Operasi Haji, Mohd. Roshidi Loman berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat terutamanya apabila ramai jemaah mula menghantar pulang barangan bagi mengurangkan berat bagasi.
Katanya, sehingga kini kira-kira 133 tan barangan telah dihantar ke Malaysia dalam sepanjang operasi haji yang bermula pada 18 April lalu.
“Kami menjangkakan jumlah penghantaran barangan jemaah haji Malaysia musim ini meningkat kepada 400 tan berbanding kira-kira 300 tan tahun lalu susulan pertambahan permintaan terutama menjelang kemuncak ibadah wukuf di Arafah.
“Ketika ini purata penghantaran harian mencecah lima tan sehari dan jumlah itu dijangka terus meningkat terutama sebelum wukuf apabila jemaah mahu mengurangkan beban bagasi untuk fokus kepada ibadah di Arafah dan Mina,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Roshidi, antara barangan paling banyak dihantar ialah makanan seperti kurma, kacang dan cenderamata termasuk jubah serta pelbagai barangan untuk keluarga di tanah air.
“Setakat ini, Selangor merekodkan jumlah penghantaran tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik lima syarikat bagi mengendalikan perkhidmatan penghantaran bagasi dan barangan jemaah musim ini antaranya termasuk Pos Malaysia Berhad. – UTUSAN










