MEKAH: Cuaca di Mekah dan sekitar tanah suci sepanjang musim haji 1447H dijangka panas dengan suhu mampu mencecah sehingga 47 darjah Celsius.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi, Dr. Ayman Ghulam berkata, situasi itu dijangka berlaku bermula 1 Zulhijah hingga Hari Tarwiyah pada 8 Zulhijah.
Katanya, cuaca dalam tempoh itu dijangka ‘panas’ hingga ‘sangat panas’ dengan keadaan langit cerah hingga separa berawan, selain disertai angin permukaan aktif yang membawa debu dan pasir terutama pada waktu siang.
Ujarnya, suhu maksimum dijangka antara 44 hingga 47 darjah Celsius manakala suhu minimum sekitar 28 hingga 31 darjah Celsius dengan kadar kelembapan antara 10 hingga 40 peratus.
“Angin pula dijangka bertiup dari arah barat daya ke barat laut dengan kelajuan antara 15 hingga 40 kilometer sejam,” katanya seperti dilaporkan Agensi Media Arab Saudi ketika melakukan lawatan pemeriksaan kesiapsiagaan operasi meteorologi di Mekah dan kawasan tanah suci.
Ayman berkata, Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi musim haji tahun ini, menerusi sistem operasi bersepadu yang disokong teknologi moden serta tenaga kerja tempatan terlatih.
Menurutnya, langkah itu bertujuan membantu agensi-agensi yang menguruskan kebajikan jemaah haji, selain memastikan pemantauan dan analisis cuaca dilakukan dengan lebih tepat.
Beliau berkata, keadaan cuaca dari Hari Arafah pada 9 Zulhijah hingga 13 Zulhijah dijangka kekal panas dengan suhu maksimum antara 42 hingga 44 darjah Celsius.
“Suhu minimum pula dijangka antara 26 hingga 29 darjah Celsius dengan kadar kelembapan antara 15 hingga 55 peratus.
“Angin dijangka bertiup dari arah barat laut dengan kelajuan antara 20 hingga 50 kilometer sejam,” katanya.
Katanya, ada kemungkinan pembentukan awan ribut petir di kawasan tanah tinggi Taif dan kesannya akan melibatkan kawasan tanah suci termasuk membawa debu dan pasir. – UTUSAN










