Operasi haji 1447H lancar, hampir semua jemaah tiba di tanah suci 

Operasi haji 1447H lancar, hampir semua 31,600 jemaah tiba di tanah suci 

ZULKIFLI Hasan dalam sidang akhbar di Pejabat Operasi Tabung Haji Mekah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Hampir semua 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026 selamat tiba di tanah suci sekali gus menandakan kelancaran operasi haji yang dirancang oleh Lembaga Tabung Haji (TH). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, setakat ini perjalanan operasi berjalan lancar dan pihaknya berpuas hati dengan pengelolaan TH yang terus mengekalkan reputasi sebagai antara model pengurusan haji terbaik dunia.

Katanya, sebanyak 99 penerbangan yang disediakan melalui Amal by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines telah selamat tiba di tanah suci dan penerbangan terakhir dijangka akan tiba pada pukul 9.10 malam ini.

“Dengan ketibaan penerbangan terakhir itu nanti, keseluruhan 100 penerbangan sewa khas akan lengkap mendarat, sekali gus menandakan semua 31,600 jemaah haji Malaysia telah selamat berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji musim ini.

“Ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak termasuk kerajaan Arab Saudi dalam memastikan kelancaran urusan jemaah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, kerajaan Malaysia melalui TH sentiasa memberi fokus utama kepada aspek keselamatan dan kebajikan jemaah, dibantu oleh petugas haji yang berkhidmat sepanjang masa tanpa mengira waktu.

Katanya, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan termasuk pengeluaran awal surat tawaran haji, kursus persediaan lebih awal serta inisiatif kesihatan bagi memastikan jemaah memenuhi syarat istito’ah (kemampuan). 

“Alhamdulillah, kadar penangguhan haji berjaya diturunkan daripada 50 peratus kepada 18 peratus, manakala tawaran haji pula buat pertama kali berjaya diselesaikan sepenuhnya sebelum Ramadan,” katanya.

Selain itu katanya, Malaysia juga mencatat sejarah sebagai antara negara terawal mengedarkan kad Nusuk kepada 100 peratus jemaah sebelum berlepas ke tanah suci.

Zulkifli berkata, TH turut memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem eTaib yang membantu memberikan maklumbalas lebih cepat dan tepat kepada jemaah dalam soal ibadah manasik haji.

“Kemudahan jemaah turut dipertingkat termasuk penyediaan bas ulang-alik percuma 24 jam ke Masjidil Haram, serta penambahbaikan kemudahan di kawasan masyair seperti khemah berhawa dingin, sofa bed dan peningkatan jumlah tandas di Mina,” katanya.

Beliau berkata, semua pencapaian itu hasil kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi, termasuk sokongan kepimpinan tertinggi negara tersebut. 

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, jemaah diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk memakai kad Nusuk, menjaga kesihatan serta mengelakkan aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Dengan suhu dijangka melebihi 40 darjah Celsius menjelang hari wukuf, jemaah juga dinasihatkan untuk mengurangkan pendedahan kepada panas, minum air secukupnya dan menggunakan kemudahan berbumbung ketika bergerak,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN