
MEKAH: Jemaah haji perlu membuat persiapan fizikal hari masyair dengan memperkukuh mental dan rohani untuk menghadapi kemuncak ibadah haji yang menghimpunkan kira-kira dua juta manusia.
Mereka juga perlu memberi tumpuan dengan mengurangkan aktiviti luar, mendapatkan rehat secukupnya dan menjaga pengambilan air bagi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik menjelang hari wukuf berbaki seminggu.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohamad Zamri Harun berkata, langkah itu penting memandangkan cuaca panas melampau di tanah suci ketika ini boleh meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan haba dan strok haba dalam kalangan jemaah.
Katanya, tempoh seminggu terakhir sebelum kemuncak ibadah haji perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memulihkan tenaga dan memperkukuh fizikal serta mental.
“Hal ini kerana sasaran utama kami ialah memastikan semua jemaah dapat selesai haji dan memperoleh haji mabrur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dianggarkan 2.5 juta umat Islam bakal berhimpun di Arafah yang merupakan hari kemuncak haji sebelum bergerak ke Muzdalifah dan Mina untuk menyempurnakan ibadah haji pada 26 Mei ini.
Dalam pada itu, Ketua Pakar Rujuk Haji, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, jemaah perlu menekankan kepentingan persediaan rohani dengan memperbanyakkan ibadah, zikir dan doa menjelang hari wukuf.
“Kita perlu melatih diri untuk banyak beribadat kepada Allah kerana waktu wukuf ialah masa terbaik mendekatkan diri kepadanya.
“Lazimilah zikir yang biasa diamalkan. Jika kurang pasti, boleh bertanya kepada pembimbing haji tentang zikir atau amalan yang boleh dilakukan. Kalau tidak tahu sekalipun, banyakkan bertahlil dan beristighfar,” katanya.
Menurut Luqman, kesihatan mental dan fizikal amat penting memandangkan suasana ketika itu tidak sama seperti hari lain khususnya cuaca panas di tanah suci.
Katanya, ketahanan fizikal dan mental mesti diperkukuh sejak awal memandangkan jemaah akan berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina selama kira-kira dua hingga tiga hari. – UTUSAN










