PETALING JAYA: Yes Group Management Berhad (Yes Group), pengendali jenama Yes Travel dan pakar Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), menyasarkan peluasan pasaran Eropah menerusi cadangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Kumpulan itu menerima kelulusan Bursa Securities bagi penyenaraian berkenaan, yang dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kapasiti operasi, meningkatkan keterlihatan korporat serta menyokong fasa pertumbuhan baharu kumpulan.
Menerusi tawaran awam permulaan (IPO), Yes Group menawarkan sebanyak 137.80 juta saham, terdiri daripada 91.87 juta saham biasa baharu dan 45.93 juta saham sedia ada.
Selepas penyenaraian, modal saham terbitan kumpulan dijangka meningkat kepada 530 juta saham.
Daripada terbitan awam sebanyak 91.87 juta saham baharu itu, sebanyak 26.50 juta saham diperuntukkan kepada awam Malaysia, 5.30 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak, manakala 60.07 juta saham lagi melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, tawaran untuk dijual melibatkan 45.93 juta saham, dengan 6.18 juta saham ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI dan 39.75 juta saham kepada pelabur terpilih.
Pengarah Urusan Yes Group, Angela Mak Shau Kwan, berkata penyenaraian itu menjadi platform penting bagi kumpulan meneruskan pertumbuhan dalam segmen pelancongan insentif dan MICE.
Katanya, Yes Group telah berkembang daripada penyedia penyelesaian pelancongan dan acara kepada pakar MICE yang mempunyai keupayaan pelaksanaan kukuh serta disokong hubungan pelanggan, proses operasi dan kualiti perkhidmatan.
“Penyenaraian yang dicadangkan akan menyediakan platform yang lebih kukuh untuk meningkatkan keterlihatan kami, mengembangkan keupayaan kami dan meneruskan fasa pertumbuhan kami yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Antara fokus utama penggunaan dana IPO ialah pengembangan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah serta penubuhan pejabat serantau di United Kingdom.
Langkah itu dijangka membolehkan Yes Group memperkukuh keupayaan menyampaikan pakej pelancongan insentif di Eropah, selain meningkatkan daya saing harga serta kawalan terhadap kos dan kualiti perkhidmatan.
Kumpulan itu turut merancang menubuhkan Yes Academy, sebuah pusat latihan dan pembangunan yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam industri pelancongan, termasuk melahirkan pemimpin dan pengurus pelancongan.
Menurut prospektus pendedahan, hasil terbitan awam juga akan digunakan untuk modal kerja am serta membiayai anggaran perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Yes Group mempunyai sejarah operasi sejak 2008 apabila Yes Travel & Events Consultant Sdn. Bhd. ditubuhkan sebelum dinamakan semula sebagai Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. pada 2009.
Kumpulan itu pada awalnya memberi tumpuan kepada perancangan dan pengurusan acara korporat sebelum mengembangkan perniagaan kepada pelancongan insentif domestik pada 2010 dan pelancongan insentif luar negara pada 2014.
Kini, Yes Group menawarkan penyelesaian MICE sehenti kepada pelanggan korporat, merangkumi pelancongan insentif tersuai serta perancangan dan pengurusan acara.
Malacca Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO Yes Group.-UTUSAN










