PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuching City FC pada Sabtu ini.
Mereka terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku pengadil, Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf sebagai penolong pengadil 1 dan 2 serta Meshari Ali Alshamari selaku pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).
Badan induk bola sepak negara itu dalam satu kenyataan berkata, kesemua pengadil yang dipilih adalah bertaraf pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Keempat-empat pegawai ini bukanlah nama asing di pentas bola sepak antarabangsa. Pengadil bersama kedua-dua penolong pengadil serta pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan Utama.
“Mereka pernah bertugas di Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup, membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka dalam mengurus perlawanan berintensiti tinggi.
“Pelantikan pengadil dari luar negara ini dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan berprestij edisi ke-99 itu,” kata FAM.
Untuk rekod, FAM sebelum ini pernah melantik pengadil luar pada final Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah iaitu tiga pegawai perlawanan dari Jepun, Takuto Okabe yang dibantu oleh Akane Yagi dan Osamu Nomura.
“Perlawanan kkhir Piala Malaysia sentiasa menjadi acara kemuncak bola sepak negara. Justeru, FAM komited untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk pengadilan mencapai standard terbaik selaras dengan reputasi kejohanan tertua dan paling berprestij di Malaysia,” jelas FAM.-UTUSAN










