PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah untuk menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial.
Kementerian Pertahanan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa siasatan tersebut penting bagi memastikan fakta sebenar dikenal pasti serta sebarang kekeliruan dapat diperjelaskan.
Menurut kementerian itu, dakwaan yang tersebar tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Sekiranya siasatan mendapati dakwaan itu benar, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peraturan, tatacara dan undang-undang semasa.
“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, Kementerian dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
Terdahulu, sebuah akaun di platform Threads, TikTok dan Instagram beberapa gambar dan rakaman video mendedahkan dakwaan mengenai kewujudan budaya tidak sihat dalam kalangan anggota ATM di dalam kem. – UTUSAN









